Tema dan Logo Hari Guru Malaysia Tahun 2019 - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Sabtu, 23 Mac 2019

Tema dan Logo Hari Guru Malaysia Tahun 2019

Sambutan Hari Guru Malaysia akan disambut pada setiap 16 Mei setiap tahun. Berbeza dengan sambutan Hari Guru Sedunia yang disambut pada 5 Oktober pada setiap tahun.

Tarikh 16 Mei dipilih untuk sambutan hari guru setiap tahun adalah berdasarkan kepada tarikh yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Sambutan yang bertujuan untuk menghargai sumbangan dan jasa guru di seluruh Malaysia akan dilangsungkan di negeri Pulau Pinang untuk peringkat kebangsaan.

Objektif Hari Guru Malaysia adalah seperti berikut:-

  1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  2. Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  3. Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
  4. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Tema Hari Guru Tahun 2019

GURU, OBOR HEMAH MENYINARI PERTIWI




Logo Hari Guru Tahun 2019


Logo Ini Memberi Maksud:

Buku melambangkan rakyat Malaysia menyahut seruan YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia memperkukuh dan meningkatkan budaya membaca serta menzahirkan hasrat untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara yang berbudaya membaca.

Icon orang melambangkan Guru dan Murid berpisah tiada. Guru mendidik murid sehingga berjaya. Murid berjaya akan tetap menghargai gurunya sepanjang hajat.

Pemilihan warna emas (Gold) memperlihatkan martabat (perumpamaan) seorang guru yang dikasihi. (dalam konteks warna). Dalam konteks nilai seorang guru – jasa guru tidak ternilai.


Menurut Menteri Pendidikan, tema yang dipilih adalah berdasarkan kepada sajak Sasterawan Negara A. Samad Said. Berikut ialah sajak yang dimaksudkan.

OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988


IlyTrolak: "Berguru ke padang datar, dapat rusa berbelang kaki"

Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan