Kenali Saya - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Kenali Saya

SIAPA SAYA?

Jika menceritakan tentang diri ini, sudah tentu panjang ceritanya, sesuai dengan kelahiran yang telah berlalu beberapa dekad. Perjalanan yang panjang sudah pasti pengalamannya pelbagai. Hendak disingkap semula sejarah lampau sememangnya menjadi satu kesukaran daya ingatan yang semakin hari semakin terhad capainnya.


KELAHIRAN

Dilahirkan pada hari Ahad, jam lebih kurang pukul 5.55 pagi.

Berikut tarikh kelahiran diri admin berdasarkan beberapa kalendar iaitu 20 Rejab 1390 hijrah (20/07/1390) bersamaan Tarikh Solar ialah ialah 29 Sonbola (Virgo) 1348 (29/12/1348) bersamaan 2,458,524 Julian pada Kalendar Julian.

Tahun kelahiran untuk Kalendar Gregorian atau tahun Masehi bukanlah tahun lompat. Bermakna bulan Februarinya hanya 28 hari.

Ini pengiraan jumlah hari kelahiran diri ini ke alam fana ini:

Bila diteliti tempat kelahiran ini, agak panjang untuk diberitahu, jika mengikut alamat asalnya, iaitu Kampung Masjid, Pulau Tiga Kiri, Parit, Perak.

Alamat tersebut sekarang telah bertukar. Mungkin dulu kampung tersebut di bawah pentadbiran mukim Parit, tetapi sejak Menteri Besar Perak ke 8, iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib, mengambil alih pemerintahan sebagai Menteri Besar Perak, maka alamat bertukar kepada Kampung Masjid, Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah, Perak.

Jika mengikut ceritanya, orang zaman dulu tiada kelahiran di klinik atau di hospital seperti bayi sekarang, semuanya diuruskan di rumah masing-masing. Jika kampung yang moden sikit, mungkin ada seorang bidan klinik. Tapi, diri ini rasanya hanya diuruskan oleh bidan kampung, tapi siapa bidan yang bertuah telah menyambut kelahiran anak kedua dalam keluarga Haji Salleh dan Hajah Shah ini? Sehingga kini belum terjawab soalan itu.

Aku akan kesannya nanti...


ZAMAN KANAK-KANAK

Sejak kelahiran aku pada 20 September 1970 sehingga bulan 7 tahun 1974, aku diberitahu telah dibesarkan di Kampung Masjid, Pulau Tiga Kiri tersebut. Teman rapat aku ketika itu, tak lain ialah kakak sulung yang ku panggil sebagai 'Yong'.

Menurut mak dan abah, Yong memang setia menjaga aku ketika mak dan abah pergi menoreh getah di kebun. Walaupun umur kami hanya berbeza setahun enam bulan, tetapi sikap tanggungjawab beliau mendodoikan aku dalam buaian sehingga abah dan mak balik memang terbukti. Tidak terbalas jasanya kepada aku jika hendak ku balasnya.

Tapi aku tidak menyedari perkara itu. Sesedarnya pengalaman aku dalam kehidupan ini ialah ketika di FELDA Trolak Utara (FTU).

Bermula bulan 8 1974, bermulalah perjalanan seorang anak peneroka dalam sebuah kawasan tanah rancangan FTU.

Menurut cerita orang, pelbagai cerita yang dapat aku dengari... tetapi ia tiada dalam kotak minda ini sepenuh. Mungkin sekelumit memori yang hanya akan terpaut.


PENDIDIKAN

Sangat jauh perjalanan dalam pendidikan ini. Pendidikan pertama bermula di rumah, siapa lagi cikgunya jika tidak ibu bapa yang setia menjaga aku dari sejak aku dilahirkan sehinggalah dianggap sebagai besar panjang. Menerima pendidikan awal di Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) yang dibuka di kawasan FELDA Trolak Utara, diri ini mula mengenal tulis baca. Istimewanya aku di TADIKA ini ialah, mulanya hanya mengikut Yong yang mula-mula sekolah dalam keluarga aku. Setahun hanya beberapa kali aku ke TADIKA. Kemudian pada umur 6 tahun, aku mula menjalani hidup sebagai seorang murid kecil secara rasmi pada tahun 1976.

Selesai menuntut ilmu di peringkat pra persekolahan, seterusnya melanjutkan pendidikan di peringkat rendah di Sekolah Kebangsaan Trolak Utara (SKTU). Sekolah yang sehingga kini masih menaburkan bakti kepada warga FTU. Bermula dengan menerima pendidikan dalam Darjah 1S, guru kelas ketika itu ialah Cikgu Rabitah.

Ketika meniti perjalanan sebagai seorang murid pendidikan rendah, pada usia 10 tahun aku menerima pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nurul Hidayah, FTU. Sesi persekolahan agama di sebelah petang ini memberi serba sedikit pengajaran pendidikan agama untuk bekalan kehidupan ini. Selain subjek Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.

Pada tahun 1982 tahun terakhir aku menjalani kehidupan dalam pendidikan rendah. Menamatkan sesi persekolahan di SKTU dan SAR Nurul Hidayah.

Pendidikan peringkat menengah rendah aku bermula di sebuah sekolah pondok iaiu Madrasah Irsyadiah Dinniah atau sekarang dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Irshadiah di Batu 26, Jalan Bagan Datoh, Perak. Namun perjalanannya tidak panjang. Pada 8.8.1983 aku meneruskan pendidikan menengah rendah aku di Sekolah Menengah Kebangsaan Trolak (SEMETRO) di FELDA Trolak Selatan.

Di peringkat sekolah menengah aku menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1985 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1987. Pada peringkat SRP, oleh kerana masalah kesihatan yang dialami sewaktu menduduki peperiksaan aku hanya meraih pangkat B agregat 32. Pada peringkat SPM aku mendapat pangkat 2 dengan 26 agregat. Sebagai murid pencapaian sederhana, aku tidak meneruskan pendidikan ke peringkat menengah atas.


KERJAYA

Jika bercerita tentang kerjaya, aku memang dilatih bekerja sejak dari bangku sekolah rendah. Oleh kerana pekerjaan abah dan emal sekadar secukup untuk saraan harian, maka aku sebagai anak lelaki sulung memang memikul tanggungjawab untuk turut mencari rezeki sejak seusia itu bagi menampung kehidupan keluarga.

Tambahan pula, aku merupakan anak terawal yang mengikuti pendidikan peringkat menengah hanya di kampung halaman sendiri. Maka, kehidupan harian aku sememangnya berkait rapat dengan kelapa sawit yang menjadi teman setia ketika duit diperlukan.

Berbeza dengan Yung dan adik-adik aku yang lain, boleh dikatakan semuanya meneruskan pendidikan menengah di sekolah berasrama.

Oleh kerana terlalu letih dan penat dengan kehidupan di kawasan ladang kelapa sawit, selepas Sijil Rendah Pelajar (SRP), aku meninggalkan sisa persekolahan pada tahun tersebut dengan bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah restoran iaitu Restoran Shaz di Mentakab, Pahang. Alasan aku ialah tidak mahu sia-siakan diri dengan hadir ke sekolah tanpa membuat sebarang aktiviti yang berguna. Maklumlah SRP dilaksanakan dalam temph 2 minggu dalam bulan September, maka selepas itu, guru-guru sudah tidak lagi meneruskan pengajaran untuk mata pelajaran. Masa di sekolah hanya dipenuhi dengan aktiviti menonton televisyen dan permainan.

Selepas Sijil Pelajaran Malaysia, aku mencuba pelbagai kerja untuk menyara diri sendiri.

KELUARGA SAYA

Menarik apabila berbicara berkaitan keluarga. Dalam keluarga yang hanya aku sebagai lelaki dan yang lainnya ialah perempuan. Jumlah keseluruhan ahli keluarga ialah 8 orang.