Kurikulum Sekolah Akan Diubah??? - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Ahad, 23 Disember 2018

Kurikulum Sekolah Akan Diubah???

Terkejut dengan "statement" yang diberikan melalui beberapa media massa dan media sosial berkaitan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Majlis Makan Malam Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid di Nexus, Bangsar. Jom lihat beritanya di sini iaitu di Kosmo dan Berita Awani


Apa yang dinyatakan oleh Tun M ialah:
- Sekolah Kebangsaan hanya memberi tumpuan kepada subjek agama.
- Belajar agama hanya akan menjadi ulamak sahaja.
- Belajar agama tidak akan mahir perkara lain.
- Belajar agama tidak dapat bekerja.
- Belajar agama tidak akan memajukan negara.
- Bahasa Inggeris dipuja-puja.
- Bahasa Inggeris boleh memajukan diri dan negara.

Berkeputusan tersebut, maka kerajaan bercadang untuk mengubah kurikulum pendidikan sekali lagi.



Rasanya sejak kebelakang ini, kerap benar berlaku perubahan berkaitan kurikulum. Penyemakan terkini yang berlaku pada tahun 2017, merupakan pengemaskinian dan pemantapan terhadap kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang digelar KSSR Semakan 2017. Baru sahaja selesai penyemakan untuk KSSR Semakan 2017 untuk Tahun 3, kerajaan Malaysia Baru hendak mengubah kurikulum lagi.

Dalam penelitian untuk KSSR Semakan 2017, subjek Pendidikan Islam hanya mempunyai 96 jam masa setahun berbanding jumlah jam setahun untuk keseluruhan mata pelajaran. Pengagihan untuk tempoh 32 minggu bagi setahun guru-guru Pendidikan Islam hanya mengajar 3 jam untuk seminggu bagi satu-satu kelas. Rujuk Surat Pekeliling Ikhtiasas KSSR Semakan bertarikh 02 November 2016.

Kenyataan seolah-olah menyatakan sekolah kebangsaan sekarang hanya memberi tumpuan kepada subjek agama. Mengapa PM Tun M menyatakan begitu? Subjek agama hanya lebih kurang 96 jam setahun berbanding jumlah jam keseluruhan jam setahun mata pelajaran iaitu 752 jam setahun untuk tahap 1 dan 800 jam setahun untuk tahap 2. Masih berbaki 656 jam setahun untuk tahap 1 dan 704 jam setahun untuk tahap 2.

Berdasarkan kepada peratusan pula, mata pelajaran agama hanya 12.8% sahaja daripada peratus keseluruhan mata pelajaran untuk tahap 1, dan 12% untuk tahap 2. Peratus tersebut juga memperlihatkan betapa kecilnya peratus masa mengajar untuk menyampaikan ilmu agama tersebut.

Jika dilihat kepada mata pelajaran bahasa Inggeris,yang memperuntukan masa mengajar sebanyak 160 jam setahun untuk kedua-dua tahap. Mengikut peratusan peruntukan masanya pula ialah 21.3% untuk tahap 1 dan 20% untuk tahap 2. Peratusan yang lebih besar berbandingan mata pelajaran agama.

Jika diagihkan peruntukan masa jam setahun dengan bilangan minggu standard iaitu 32 minggu, guru-guru bahasa Inggeris dapat meluangkan masa sebanyak 5 jam bersama-sama untuk satu-satu minggu. Ini bermakna masa guru bahasa Inggeris lebih lama bersama-sama murid berbanding guru agama untuk tujuan pembelajaran dan pemudahcaraan.

Dimanakah kajian yang diambil oleh Tun M yang menyatakan sekolah kebangsaan menumpukan hanya subjek agama?

Pandangan Tun M berkaitan hala tuju murid yang belajar agama juga dirasakan kurang bertepatan. Penekanan Tun M kepada sekolah kebangsaan juga adalah kurang tepat.

Hasrat untuk mengubah kurikulum ini bukan suatu perkara yang boleh diambil mudah. Suatu kajian yang terperinci dan mendalam perlu dibuat. Kajian kurikulum perlu sejajar dan menjurus kepada kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Jangan lagi, dilaksanakan perubahan ini, selagi dapatan kajian yang benar-benar signifikan dapat dikemukakan, dikuatiri murid-murid sekolah ini akan menjadi mangsa kepada kajian, sebagaimana yang berlaku pada beberapa program dan perubahan yang berlaku sebelum ini.

IlyTrolak: "Adakah sistem pendidikan ini sebagai makmal ujikaji semata-mata?"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan