Ziarah Cakna Kukuh Hubungan Sekolah, Ibubapa dan Pelajar - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Sabtu, 26 Januari 2019

Ziarah Cakna Kukuh Hubungan Sekolah, Ibubapa dan Pelajar

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mengadakan program Ziarah Cakna di seluruh negara bermula Ahad ini bagi memperluas konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa, penjaga dan pelajar.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata amalan ziarah guru ke rumah pelajar terpilih untuk menyantuni golongan ibu bapa atau penjaga mereka akan dijalankan sepanjang tahun ini.

"Sebelum ini, program ziarah seperti ini bukan teras dan pihak sekolah selalunya menziarahi rumah pelajar bermasalah tetapi dalam konteks baharu, kita mahu mengetengahkan nilai saling hormat serta budaya kasih sayang.

"Oleh itu, bukan pelajar bermasalah saja diziarah tetapi kita ziarah atas dasar berterima kasih dan menghormati ibu bapa yang mempunyai anak yang cemerlang termasuk mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amin berkata, program Ziarah Cakna akan menjadi pentas bagi guru dan ibu bapa berkongsi perkembangan menyeluruh berkaitan pelajar, memahami latar belakang keluarga mereka dan berkongsi pandangan bagi memastikan kemenjadian murid.

Beliau berkata, program berkenaan akan membuka ruang bagi guru untuk lebih mendalami tingkah laku, merasai denyut kehidupan pelajar di rumah dan lain-lain keperluan atau bantuan kepada mereka.

“Maklumat seperti ini amat penting dihayati dalam membina asas bagi meningkatkan pembangunan diri, sahsiah dan kecemerlangan pelajar," katanya.

Tambah beliau, majlis pelancaran Program Ziarah Cakna Ahad ini akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, di Kluang, Johor dan akan digerakkan secara rasmi di enam lokasi lain.

“Lokasi itu adalah Langkawi, Kedah; Pasir Mas, Kelantan; Kulai, Johor; Kota Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak dan Hulu Langat, Selangor," katanya. - BH Online

IlyTrolak: "Text Here"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan