Guru Wajib Dihargai Tidak Kira Masa, Situasi - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Rabu, 20 Mei 2020

Guru Wajib Dihargai Tidak Kira Masa, Situasi

KUALA LUMPUR: Guru sememangnya sentiasa dihormati dan dihargai kerana jasa besar mereka mendidik anak bangsa, bagaimanapun 16 Mei setiap tahun tetap menjadi tarikh istimewa dinantikan pelajar sebagai simbolik untuk menunjukkan penghormatan serta penghargaan itu melalui acara atau ucapan tersendiri.

Saban tahun juga bersempena tanggal itu, pelbagai program sambutan bercirikan interaktif dan kesyukuran dianjurkan pada peringkat sekolah, negeri serta kebangsaan bagi meraikan warga guru.

Walaupun pada tahun ini sambutan Hari Guru tidak boleh diraikan secara fizikal ekoran penularan COVID-19 dengan menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan turut mengakibatkan sekolah ditutup, sambutan itu tetap diraikan secara meriah menggunakan platform maya bagi mengenang jasa guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata pengorbanan guru cukup banyak kerana peranan mereka bukan sahaja terhad kepada skop 'keluar masuk kelas untuk mengajar', tetapi melangkaui keperluan hakiki tugasan mereka, termasuk mendidik sahsiah serta menjaga kebajikan setiap pelajar.

Katanya, peranan itu menuntut masa, tenaga dan kewangan bukan sedikit, namun atas dasar jiwa mendalam terhadap tanggungjawab sebagai guru, mereka menggalasnya dengan gembira serta tabah.

"Guru hari ini menjalankan kerja di sebalik tabir kerjaya mereka seperti menjadi kerani, jururawat, kaunselor, selain membawa pelajar ke pertandingan sekolah dan adakala menghantar pelajar sakit ke klinik atau hospital.

"Mereka turut meluangkan masa untuk keluar mencari pelajar yang tidak hadir ke sekolah di rumah bagi memastikan punca sebenar dan keselamatan mereka terjamin," katanya.

Aminuddin berkata, ketika tempoh PKP, guru tetap melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) mengikut kaedah penyampaian bersesuaian dengan menggunakan platform digital sedia ada.

Beliau berkata, meskipun penyampaian ilmu melalui kaedah itu terhad berbanding di kelas sebenar kerana sukar memantau semua pelajar pada masa sama akibat kekangan internet atau ketiadaan akses, guru tetap mengaplikasikan cara tambahan bagi memastikan setiap seorang menerima ilmu disampaikan sebaik mungkin.

Katanya, situasi itu membuktikan guru sentiasa memiliki keprihatinan dan tanggungjawab tinggi dalam menjalankan tugasan mereka.

"Ketika PKP, guru menggunakan pelbagai medium untuk mengajar, termasuk aplikasi dalam talian Google Classroom dan Google Meet, selain WhatsApp serta Telegram.

"Jasa mereka sangat besar dan sempena sambutan Hari Guru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana komited menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, malah mereka sanggup menguasai dan meningkatkan ilmu teknologi maklumat mereka bagi memastikan kehidupan normal baharu disarankan kerajaan mampu dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.

Bagi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, pemilihan tema sambutan Hari Guru 2020, Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu adalah sangat menarik dan bersesuaian dengan situasi semasa negara yang kini dilanda COVID-19.

Beliau berkata, tema itu mengkehendaki dan memastikan guru benar-benar mampu menjalankan tugas untuk menyampaikan ilmu melalui apa kaedah sekalipun bagi membina generasi baharu negara.

Katanya, dalam situasi COVID-19 kini, guru yang sememangnya sentiasa berusaha melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran, boleh menerokai aspek baharu penyampaian ilmu secara dalam talian.

"Guru boleh mempelajari cara mengajar baharu menerusi kaedah digital untuk memperluaskan lagi skil mereka, manakala pelajar tetap menerima ilmu terbaik walau dalam keadaan apa sekalipun," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor, berkata, profesion keguruan adalah kerjaya yang sangat dipandang mulia, cukup penting dan dekat di hati masyarakat.

Beliau berkata, profesion itu mencetuskan dan menentukan kelahiran generasi berketerampilan, berkarakter baik serta berilmu.

Katanya, berikutan itu, setiap pelajar dan bekas pelajar tidak mengira usia yang pastinya pernah menerima tunjuk ajar guru harus tetap menunjukkan penghargaan sepanjang masa, termasuk meraikan sambutan Hari Guru sebagai tanda terima kasih tidak kira dalam situasi apa sekalipun.

"Oleh itu, ketika PKP yang memerlukan sambutan ini ditunda secara fizikal selepas COVID-19 berakhir, kita tetap boleh meraikannya menerusi aplikasi digital dan teknologi sedia ada.

"Kita boleh zahirkan ucapan kepada guru dan pensyarah menerusi lisan serta tulisan seperti video, kiriman ucapan ke media sosial mereka atau menghantar kata penghargaan ke telefon bimbit mereka bagi menyuntik semangat berterusan untuk terus mendidik anak bangsa," katanya.

Sumber: bharian.com.my


IlyTrolak: "Setiap orang adalah guru kepada orang lain..."

Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan