Aku Perlu Jaga Hati dan Perasaan Orang Lain - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Jumaat, 20 Disember 2019

Aku Perlu Jaga Hati dan Perasaan Orang Lain

Bagaimana hendak dimulakan penceritaan ini? Agak sukar untuk diluahkan, kerana ia melibatkan perasaan orang lain.

Penat juga hendak menjaga perasaan orang lain, tetapi bagaimana dengan perasaan kita?

Hendak diceritakan di sini pun, khuatir akan menerima kecaman, tetapi terpaksa juga dinyatakan agar hati ini merasa puas, apabila segala yang terbuku ini diluahkan.

Kisah tentang apa ni? Biar diceritakan dahulu.

Perkara ini adalah berkaitan perasaan dan sikap individu.

Kata orang pergilah berterus-terang terhadap orang yang kita tidak berasa puas hati tersebut. Tetapi, pengalaman mengajar aku, telah beberapa kali aku berterus terang.

Yang paling menyayat hati ini, apabila teguran yang dibuat berakhir dengan pergaduhan dan perkelahian. Memang bukan diri ini yang membuat serangan, tetapi diri ini diserang.

Dalam kejadian beberapa tahun dahulu, satu teguran dibuat kepada sepasang remaja. Selepas teguran dibuat, tetiba satu tengkingan yang amat kuat diluahkan kepada diri ini, sambil pasangan remaja terus berlalu.

Aku fikir ia berakhir begitu sahaja, dalam setengah jam, datang beberapa remaja bermotosikal di hadapan rumah, mereka menjerit dan memanggil aku.

Aku yang rasa tanpa perasaan bersalah, memunculkan diri di hadapan sekumpulan remaja tersebut. Setiba aku dihadapan mereka aku cuba ditumbuk oleh mereka, mujur aku sempat mengelak... beberapa percubaan mereka tidak menepati sasaran.

Jemu mereka menyerang begitu sahaja, mereka pun berundur dan akhirnya meninggalkan aku. Sekali lagi aku fikir ia telah berakhir, rupanya beberapa peristiwa susulan berlaku, membuatkan aku mengambil tindakan untuk pindah rumah.

Itu peristiwa yang paling mencabar diri ini untuk menangani hal tersebut.

Ada juga tindakan teguran yang dibuat, walaupun teguran dibuat secara berhemah, tetapi disambut dengan perbuatan cabaran yang lebih melampau. Tak perlu dinyatakan di sini peristiwanya. Biar disimpan dalam hati saja. Aku harap Allah memaafkan diri pembuat angkara.

Kes kali ini berlainan status orangnya. Dulunya diri ini rasa, ia berkisar kepada tahap pemikiran empunya diri yang mungkin tidak matang atau kurang tahap pendidikannya.

Mereka mungkin kurang matang berkaitan menangani hal-hal perasaan. Itu pada fikiran diri ini.

Kalau difikirkan tentang status individu kali ini, aku berpendapat ia tentulah agak mudah untuk ditangani, tetapi tanggapan ini meleset. Ia juga seperti insan-insan lain yang pernah memberi pengalaman kepada diri ini.

Kisahnya mudah, ia adalah berkisar kepada hobi seseorang. Hobi jiran aku kali ini ialah memelihara kucing.

Aku akui hobi mereka kerana kucing juga merupakan haiwan kesayangan Rasulullah. Namun, aku juga tertanya-tanya, dalam Rasulullah menyayangi kucing, berapa ekor kucing yang dipelihara oleh Kekasih Allah ini.

Mungkin kecetekan ilmu yang ada pada aku, membataskan aku untuk mengetahui perkara tersebut.

Untuk pengetahuan semua, Aku tinggal di kawasan rumah teres sahaja. Jiran aku berada dilot akhir bersebelahan rumah aku.

Kembali kepada jiran aku...

Aku pernah melihat sendiri kandang-kandang yang terdapat dalam kawasan rumah jiran aku, agak banyak, seingat aku, aku pernah mengira kucing yang dipelihara pada suatu ketika dulu, iaitu lebih daripada 20 ekor. Wow banyaknya!!!

Mungkin jiran aku ini merupakan peminat kucing atau mungkin juga beliau terlibat dalam Kelab Pencinta Kucing di peringkat dalam negara atau luar negara. Aku salute tentang itu.

Yang menimbul tidak senang hati aku ialah bau najis kucing yang menyengat dan memecah ruang hidung aku, setiap kali aku berada di ruang depan rumah aku atau jika aku membuka tingkap atau "sliding door" rumah aku.

Baunya masuk ke dalam rumah aku...

So, bila duduk dalam rumah sekarang ini macam duduk dalam lokap. Semuanya tertutup rapi. Untuk mencari kelegaan, aku akan berjalan di padang yang terletak di hadapan rumah.

Cubalah bayangkan sebelum kehadiran jiran berkucing ini, sliding door dan tingkap akan dibuka seawal pagi.

Udara segar akan terus masuk ke dalam rumah. Tiada rasa terperangkap macam sekarang.

Orang kata jika pintu dan tingkap rumah dibuka seawal pagi, rezeki akan mudah masuk ke dalam rumah.

Ketidakselesaan aku membawa aku ikhtiar yang diluar jangkaan aku selama ini. Aku berusaha mencari rumah lain, tetapi bukan rumah sewa.

Usaha aku berjaya, apabila aku berjaya membina sebuah rumah tanah milik aku. Jarak rumah yang dibina dengan rumah teres aku lebih kurang 50KM.

Perpindahan tersebut, menyebabkan rumah sedia ada ditinggalkan rumah aku agak lama.

Sesekali aku dan isteri akan mengunjung rumah tersebut.

Sekembali aku untuk melihat kembali dan mengemas rumah aku setelah beberapa bulan ditinggalkan, aku dapat lihat keadaan rumah aku yang bertempek-tempek najis kucing, dan bau air kencing kucing yang amat hancing dan memeritkan.

Sehingga isteri aku muntah-muntah dan pening kepala, apabila terhidu bau yang tidak menyenangkan itu.

Isteri aku dah beberapa kali mengeluh tentang perkara tersebut. Aku hanya berdiam diri sahaja.

Sebab aku pernah sekali menyatakan hal serupa sebelum aku berpindah rumah dahulu, keadaan masih sama.

Aku tak salahkan isteri aku yang mengeluh tentang perkara itu, isteri aku pernah mengalami pengalaman yang mengerikan... Sejak dari itu beliau amat trauma dengan kucing. Biarpun pada anak kucing sekali pun.

Tentang najis dan bau air kencing yang terdapat di rumah aku, aku tak pasti, adakah mereka yang memelihara kucing ini sebenarnya berkepakaran dalam menjaga kucing atau tidak.

Teringat aku kepada seorang rakan sekerja aku yang juga minat memelihara kucing. Beliau memelihara dua ekor kucing, tetapi keletah kucingnya amat menyenangkan.

Ketika aku bersembang di rumah rakan aku ini, tetiba aku lihat kucing beliau mengiaw-ngiaw sambil mencium dan menggaru pintu.

"Kojap-kojap... nanti abah buka..." Kata kawan aku. Dia membuka pintu dan kucing berlari terus keluar.

"Mengapa tu Zul?" tanya aku.

"Dio nak merobeh..."

Aku tertarik dengan kata-kata rakan aku, terus melihat ke luar pintu dan kelihatan kucing tersebut sedang membuang hajat di ruang pasir untuk membuang air besar dan kecil yang disediakan.

"Pandai kau jaga kucing ye..." puji aku pada Zul.

Yang aku hairan, bau hancing atau bau najis kucing memang tak langsung dapat dihidu.

"Kucing ni kita keno cakap kat dio undang-undang dudok romah ni..." Aku mengangguk-angguk sahaja kata-kata rakanku itu.

Kembali lagi ke cerita sebenar aku... Untuk menyelesaikan permasalahan.

Pada hari ini, aku dah beli beberapa jaring besi untuk aku buat penghadang agar kucing-kucing para pencinta kucing ini tidak menceroboh dan membuat onar dalam rumah aku...

so, inilah yang aku lakukan...








Setahu aku jika di kawasan Kuala Lumpur atau Shah Alam atau bandar-bandar besar yang lain, pemilik kucing yang akan membuat pengadang di rumah masing-masing, tetapi kali ini untuk menjaga hati semua orang, aku sendiri meletakkan penghadang atau jaring di sekeliling kawasan hadapan rumah.

Jiran aku yang memelihara kusing tu, bukannya tak buat apa yang aku buat ini, tetapi buat macam sekadar ada, kucing-kucingnya tetap keluar dan masuk macam tiada penghadang pun.

Beliau juga ada usaha untuk kucing tidak dapat melompat ke rumah aku dengan meletakkan atap plastik di bahagian dinding antara rumah dia dan rumah aku... aku tetap berterima kasih atas perkara itu.

Cuma masalah sekarang, najis-najis kucing masih terdapat di hadapan rumah aku, tak kan aku nak pagar jalan pulak?

Aku sebenarnya bukan tidak menyukai atau menggemari untuk memelihara kucing, malah aku juga dibesarkan bersama emak yang sukakan kucing.

Bertahun-tahun aku berpengalaman dengan kucing ini. Memang aku akui, aku pun bukan setanding dengan rakan aku, Zul untuk memelihara kucing setaat dan sebersih Zul.

Oleh itu, aku ambil keputusan tidak memelihara kucing, khuatir ia akan membuat onar kepada diri aku, keluarga atau kejiranan yang ada di sekeliling aku.

IlyTrolak: "Kena kucing yang comel, kekadang menghiburkan juga..."
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan