Doa Selepas Solat Berserta Wirid - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Rabu, 22 Mei 2019

Doa Selepas Solat Berserta Wirid

Selepas selesai menunaikan solat fardhu, amat digalakkan kita melakukan ucap tasbih, tahmid dan takbir serta istigfar.

Adalah kurang elok jika selepas selesai solat, kita terus bangun dan beredar tanpa diikuti wirid dan doa.

Biasanya selepas habis sembahyang kita disunatkan untuk bertasbih dan lain-lain untuk memenuhi anjuran Nabi Muhammad SAW.

1. Mulakan dengan istigfar

Untuk mendapat ganjaran yang lebih, marilah kita amalkan setiap kali selesai menunaikan solat fardhu dengan ucapan istigfar di bawah sebanyak tiga (3) kali:



"Aku memohon keampunan daripada Allah, Tuhan Yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Allah. Dia hidup, berdiri dengan sendirinya, dan aku memohon keampunan daripadaNya."

2. Seterusnya disambung dengan ucapan berikut sebanyak 3 atau 10 kali:



"Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Tuhan Yang Maha Esa tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala pujian. Dialah Yang Maha Kuasa ke atas segala sesuatu."

3. Disambung lagi dengan ucapan berikut sebanyak 3 atau 7 kali:



"Ya Allah, jauhkanlah kami daripada azab neraka."

4. Seterusnya disambung dengan ucapan:



"Ya Allah, Engkau yang menyelamatkan, daripadaMu keselamatan, kepadaMu kembali keselamatan. Maka hidupkanlah kami wahai Tuhan, dalam keselamatan. Masukkan kami ke syurga, negara keselamatan. Maka sucilah Engkau wahai Tuhan kami, Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan."

5. Seterusnya disambung dengan bacaan Al-Fatihah



"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat."

6. Seterusnya disambung dengan bacaan Al-Baqarah ayat 163:



"Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani."

7. Seterusnya disambung dengan bacaan Al-Baqarah ayat 255:



"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)"

8. Seterusnya disambung dengan bacaan Al-Baqarah ayat 285:



"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali."

9. Seterusnya disambung dengan bacaan Al-Baqarah ayat 286:



"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir"

10. Seterusnya disambung dengan bacaan Ali-Imran ayat 18:



"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

11. Seterusnya disambung dengan bacaan Ali-Imran ayat 19:



"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam."

12. Seterusnya disambung dengan bacaan Ali-Imran ayat 26:



"Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

13. Seterusnya disambung dengan bacaan Ali-Imran ayat 27:



"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya."

14. Selepas itu bacalah surah Al-Ikhlas:



"Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya."

15. Disambung dengan bacaan surah Al-Falaq:



"Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan. Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk. Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya."

16. Disambung lagi dengan surah An-Nas:



"Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia"

17. Diikuti bacaan Al-Fatihah sekali lagi:



"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat."

18. Kemudian mulakan tasbih dengan ucapan:



"Tuhanku, penjagaku Maha Suci Allah"


19. Mulakan tasbih dengan ucapan berikut sebanyak 33 kali:



"Maha Suci Allah"


20. Apabila genap bilangan tasbih, sambung dengan bacaan berikut:



"Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya yang kekal selama-lamanya"

21. Mulakan tahmid dengan ucapan berikut sebanyak 33 kali:



"Segala puji bagi Allah"

22. Apabila genap bilangan tahmid, sambung dengan bacaan berikut:



"Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam ke atas setiap keadaan dan dalam setiap keadaan dan nikmat"

23. Mulakan takbir dengan ucapan berikut sebanyak 33 kali:



"Allah Maha Besar"

24. Apabila genap bilangan takbir, sambung dengan bacaan berikut:



"Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, tidak ada bersekutu denganNya sesuatu. Baginya kerajaan, baginya segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dialah Yang Maha Kuasa ke atas segala sesuatu dan kepada Allah jualah tempat kembali. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Aku mohon keampunan daripada Allah."

Setelah selesai bacaan wirid, berdoalah ke hadrat Allah.

Selepas solat fardhu merupakan antara waktu-waktu yang senang dimakbulkan doa.

Pohonlah mengikut keperluan diri atau berdoa sebagaimana doa-doa yang disediakan dibawah:

Doa Selepas Solat Fardhu

Doa Selepas Solat (Pilihan 1)



"Dengan nama Alah, yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Selawat dan salam atas semulia-mulia para nabi dan rasul, junjungan kami Muhammad dan ats keluarga dan sahabat Baginda seluruhnya.

Ya Allah, ya Tuhan kami! Terimalah solat dan doa kami.

Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Berilah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, jadikanlah agama kam agama Nabi Muhammad.

Keislaman kami, Islam yang sebenar-benarnya.

Keimanan kami, iman yang sempurna.

Solat kami, solat yang khusyuk.

Amal kami, amal yang soleh.

Niat kami, niat yang ikhlas.

Jadikanlah dosa-dosa kami, dosa-dosa yang terampun.

Jadikanlah hidup dan kehidupan kami, hidup dan kehidupan para ulama.

Mati kami dengan mati syahid.

Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam syurga bersama dengan para Nabi.

Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat.

Jauhkanlah kami daripada seksaan neraka.

Semoga Allah mencurahkan kesejahteraan ke atas sebaik-baik makhluknya, junjungan kami Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya.

Maha suci Tuhan yang Maha Mulia daripada sebarang kekurangan.

Salam sejahtera ke atas para rasul dan segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam."


Doa Selepas Solat (Pilihan 2)



"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dengan puji yang sebanding dengan nikmatNya dan menjamin tambahanNya.

Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian yang selayaknya bagi keagungan zatMu dan kebesaran kekuasaanMu.

Ya Allah, cucurilah kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad mencakupi orang-orang terdahulu dan terkemudian, dan anugerahkanlah keselamatan kepadanya.

Restu Allah mudah-mudahan dikurniakan kepada pemimpin-pemimpin kami dari kalangan para sahabat Rasulullah sekalian.

Ya Allah, hidupkanlah kami dengan iman, kumpulkan kami dengan iman dan masukkan kami ke dalam syurga bersama iman, dengan berkat rahmatMu, wahai Yang Paling Pengasih di antara yang mengasihani.

Ya Allah, tolonglah kami untuk mengingati Mu, bersyukur kepada Mu dan melakukan ibadah yang sebaiknya untuk Mu.

Ya Allah, kami pohon kepadaMu petunjuk, ketaqwaan, kehormatan diri dan kecukupan.

Ya Allah, terimalah solat kami sepenuhnya, dan ampunkanlah segala dosa kami semuanya.

Janganlah Engkau seksa kami biar pun sampai ke hari kiamat nanti. Sesungguhnya engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami dan ibu bapa kami. Rahmatilah mereka berdua sebagaimana mereka mendidik kami dengan baik sejak kecil.

Ya Allah, hidupkan kami seperti kehidupan para ulama.

Matikan kami seperti kematian para syuhada. Kumpulkan kami ke dalam kumpulan para wali. Masukkan kami ke dalam syurga bersama nabi.

Wahai Tuhan kami, janganlah engkau pesongkan hati kami setelah mana Engkau berikan petunjuk kepada kami.

Berikan kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Maha Pemberi.

Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan keterlanjuran kami dalam segala urusan kami. Serta teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.

Wahai Tuhan kami, ampunkanlah segala dosa kami, hapuskan kejahatan kami dan matikan kami bersama-sama orang yang baik.

Ya Allah, berikan kepada kami di dunia ini kebaikan dan di akhirat juga kebaikan. Selamatkan kami daripada api neraka.

Ya Allah, sudahi ajal kami dengan kesudahan yang baik. Janganlah Engkau sudahi terhadap kami, ya Allah, dengan kesudahan yang buruk.

Selawat dan salam sejahtera Allah ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabatnya.

Maha Suci Tuhan yang Maha Mulia daripada sebarang kekurangan.

Salam sejahtera ke atas para rasul dan segala puji hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam."


Doa Selepas Solat (Pilihan 3)



"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Selawat dan salam ke atas penghulu para rasul dan ikutan orang-orang bertakwa (Nabi Muhammad), serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.

Ya Allah! sesungguhnya kami memohon kepadaMu keselamatan pada agama, kesihatan jasad, ditambah ilmu pengetahuan, keberkatan rezeki, taubat sebelum mati, rahmat ketika mati dan keampunan setelah mati.

Ya Allah! Ringankanlah ke atas kami semasa sakaratul maut, lepaskanlah daripada api neraka dan kemaafan semasa diadakan perhitungan (hisab).

Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah mana Engkau berikan petunjuk kepada kami.

Berikanlah kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Maha Pemberi.

Ya Allah! Hidupkanlah kami dengan iman dan matikanlah kami dengan iman, serta masukkanlah kami ke dalam syurga bersama-sama iman.

Ya Allah! Ampunilah segala dosa-dosa kami dan dosa-dosa kedua-dua ibu bapa kami.

Kasihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa kami masih kecil.

Ya Allah! Akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik.

Wahai Tuhan kami, kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan juga di akhirat.

Peliharalah kami daripada azab api neraka.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga serta sahabat-sahabat baginda.

Segala puji itu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh Alam."


Doa Selepas Solat (Pilihan 4)



"Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang semulia-mulia pesuruh-Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.

Ya Allah! Hidupkanlah kami dengan iman dan matikanlah kami dengan iman, serta masukkanlah kami ke dalam syurga bersama-sama iman.

Ya Allah! Ampunilah segala dosa-dosa kami dan dosa-dosa kedua ibubapa kami.

Kasihanilah kedua ibubapa kami sepertimana mereka berdua mengasihani kami sewaktu kami masih kecil.

Ya Allah! Akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah Engkau akhiri umur kami dengan kesudahan yang tidak baik.

Ya Allah! Janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk.

Anugerahilah kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.

Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan juga di akhirat.

Peliharalah kami daripada azab neraka.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga serta sahabat-sahabat Baginda.

Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam."


Penutup:

Doa Ialah Untuk Membuktikan Sifat Kehambaan Kita di Hadapan Allah SWT


Salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah al-Sami’

Allah Maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan dan luahan rasa daripada hamba-hambaNya pada setiap masa, tempat dan ketika.

Antara suara yang paling Allah cintai selain daripada tangisan hambaNya yang bertaubat ialah doa daripada hambaNya yang meminta.

Allah setia mendengar rintihan hamba-hambaNya ibarat kekasih.

“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

— Surah Ghafir ayat 60

Orang yang tidak berdoa boleh dikira sombong terhadap Allah.

Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil dan hina itu.

Maka berdoalah.

Doa untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah SWT.

Sebagai hamba, kita memerlukan Allah lebih dari daripada segala-galanya dalam hidup ini.

Segala kelemahan dalam panduan ini akan diperbaiki dari masa ke semasa.

IlyTrolak: "Semoga bermanfaat kepada kita semua!"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan