Ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Selasa, 26 Mac 2019

Ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja

SEDUTAN UCAPAN PENGGULUNGAN PERBAHASAN TITAH DIRAJA PERINGKAT DASAR DI DEWAN RAKYAT YANG DISAMPAIKAN OLEH YB DR. MASZLEE BIN MALIK, MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA DI DEWAN RAKYAT PADA 26 MAC 2019

Ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja
Peringkat Dasar di Dewan Rakyat
oleh YB Dr. Maszlee bin Malik, Menteri Pendidikan
26 Mac 2019


PENDAHULUAN

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.

1. Terlebih dahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang prihatin dan cakna akan konsep pendidikan milik semua. Seramai 53 Ahli Yang Berhormat telah memberikan pandangan, sumbang saran dan teguran yang cukup membina demi membantu penambahbaikan berterusan sektor pendidikan negara. Sebanyak 127 isu telah dibangkitkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sewaktu perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong mulai 12 hingga 25 Mac 2019. Saya percaya semua isu yang dibangkitkan adalah bagi memantapkan kualiti sistem penyampaian dan keberhasilan bidang pendidikan negara.

Tuan Yang di-Pertua,

2. Saya ingin memulakan ucapan ini dengan mendeklamasikan sebuah sajak yang sesuai dengan isu mahasiswa hari ini bertajuk; “Silakan,
Orang Muda” oleh Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh.

silakan duduk di kerusiku itu,
orang muda,
telah lama aku di sana,
lebih lama dari saudaraku.
aku sampai ke sana
sewaktu orang
masih duduk di tanah
dan tiada ditentang
kerana menentang.
sekarang, silalah
teriakkan marahmu
kerana orang muda harus merubah
mengganti lantai buruk
dan menegak rumah baru.
ambillah parang ini.
rintislah lorong peribadi.
tapi penentang juga
harus bijaksana
menemukan keadaan dengan kenyataan
memaksanya melihat kebenaran.
ini giliranmu
silakanlah.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya akan memberi fokus untuk menjelaskan isu-isu dasar mengikut tema. Perkara-perkara spesifik dan operasi akan dirumus secara umum bagi
menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, semua isu yang dibangkitkan akan diambil perhatian oleh pihak kementerian.

DASAR PENDIDIKAN

1. Terima kasih diucapkan kepada YB Bandar Kuching, YB Jelebu dan YB Paya Besar yang membangkitkan isu-isu yang menyentuh dasar
pendidikan.

Pemberian Vaksin kepada Kanak-kanak

2. Untuk makluman YB Bandar Kuching, KPM mengambil berat pemberian vaksin kepada kanak-kanak di negara ini. Cadangan mewajibkan kanak-kanak mendapatkan suntikan vaksin telah dibincangkan di Jawatankuasa Task Force yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Mac 2019. KPM merupakan ahli bagi jawatankuasa tersebut bersama-sama pihak JAKIM, dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kertas cadangan akan dikemukakan dalam mesyuarat pengurusan di peringkat tertinggi seterusnya dipertimbangkan oleh Kabinet.

Penawaran Ijazah Sarjana dan Kedoktoran di Institut Pendidikan Guru (IPG)

3. Bagi menjawab permohonan YB Jelebu berhubung cadangan penawaran ijazah Sarjana dan Kedoktoran di IPG, KPM dalam usaha menawarkan program pengajian di peringkat sarjana dan PhD mulai tahun 2020 kepada guru pelatih. Kertas cadangan “Mewujudkan Scholarly Teachers” di KPM telah disediakan dan dihantar kepada bahagian-bahagian serta agensi bagi mendapatkan pandangan serta ulasan. Seterusnya, KPM melalui IPGM akan memperhalusi serta memantapkan kertas cadangan tersebut berdasarkan pandangan dan ulasan yang diterima, sebelum dibentangkan di peringkat pengurusan tertinggi KPM.

PERUNTUKAN, PEMBANGUNAN & PENYELENGGARAAN

4. Terima kasih kepada seramai 33 orang Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan 58 isu peruntukan, pembangunan dan penyelenggaraan institusi pendidikan. KPM sentiasa berusaha untuk menambah baik dan menaiktaraf fasiliti pendidikan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.

Pembangunan semula sekolah daif

5. Dalam konteks pembangunan semula sekolah daif, pelaksanaan pada tahun 2019 ditambah baik daripada aspek penggunaan skala impak, kaedah pelaksanaan dan skop pembinaan termasuk rumah guru dan makmal. Keutamaan projek diberikan kepada sekolah-sekolah yang berskala 7, iaitu sekolah yang tidak selamat lagi untuk digunakan dan telah mendapat pengesyoran daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

6. Pembangunan semula sekolah daif di Sarawak dibangkitkan oleh YB Sibuti, YB Betong, YB Kota Samarahan, YB Igan dan YB Lawas. Sehingga kini, pelaksanaan naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di negeri Sarawak melibatkan 198 buah sekolah dengan peruntukan berjumlah RM 557 juta melalui peruntukan pembangunan dan Private Finance Initiative (PFI). Pada tahun 2017, sebanyak 26 sekolah telah siap dinaiktaraf manakala pada tahun 2018, 66 sekolah telah berjaya disiapkan.

Ini menunjukkan peningkatan sebanyak hampir 3 kali ganda, hasil daripada pemantauan yang lebih rapi. Terdapat baki 50 sekolah lagi dalam
peringkat pelaksanaan dan dijangka akan siap setelah CPC dikeluarkan pada bulan April 2019.

7. Bagi pelaksanaan tahun 2019, peruntukan sebanyak RM100 juta telah diluluskan melibatkan naik taraf dan pembangunan semula 32 buah sekolah daif di Sarawak. Mesyuarat susulan Jemaah Menteri pada 20 Februari 2019 juga telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju untuk menyalurkan dana pembiayaan sebanyak RM1 bilion bagi tujuan pembangunan dan menaiktaraf sekolah-sekolah daif di negeri Sarawak. Penyediaan dana tersebut adalah sebagai bayaran hutang kerajaan negeri Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan. Kesemua projek ini juga akan dilaksanakan oleh pihak JKR secara tender terbuka dan pelaksanaan dijangka bermula secara berperingkat pada Jun tahun ini.

8. Berkaitan pembangunan semula sekolah daif di Sabah seperti yang dibangkitkan oleh YB Kalabakan, YB Libaran dan YB Tawau, sehingga Februari 2019, naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di negeri Sabah melibatkan 153 buah sekolah dengan kos berjumlah RM 552.1 juta melalui peruntukan pembangunan dan Private Finance Initiative (PFI).

Untuk tahun 2018 sahaja, kelulusan untuk menaik taraf 120 buah sekolah daif telah dibuat dengan kos sebanyak RM 429 juta. Sehingga 28 Februari 2019, sebanyak 73 buah sekolah telah siap dan telah digunakan manakala baki 47 sekolah lagi masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka akan siap setelah CPC dikeluarkan pada April 2019.

9. Bagi pelaksanaan tahun 2019, peruntukan sebanyak RM10 juta telah diluluskan melibatkan naik taraf dan pembangunan semula tiga (3) buah sekolah daif di Sabah. Kesemua projek ini akan dilaksanakan oleh pihak JKR secara tender terbuka dan pelaksanaan dijangka bermula secara berperingkat pada Mei 2019. Proses libat urus bersama-sama Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah sentiasa diadakan. KPM juga mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah atas inisiatif dan usaha berterusan berkomunikasi dengan pihak Kementerian untuk menyelesaikan isu pembangunan pendidikan di Negeri Sabah.

Penyambungan bekalan elektrik ke sekolah di Sarawak

10. Berkaitan status penyambungan bekalan elektrik ke grid utama sekolah-sekolah di Sarawak seperti yang dibangkitkan oleh YB Sibuti, Kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju untuk membiayai kos dan melaksanakan projek penyambungan ke talian grid bekalan utama elektrik kepada sekolah-sekolah luar bandar Sarawak. Anggaran kos projek ini adalah RM50 juta melalui agensinya iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR Sarawak). Walau bagaimanapun, kerja-kerja penyambungan ke talian grid ini hanya boleh dilaksanakan setelah kontrak Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak sedia ada tamat.

11. Walaubagaimanapun KPM masih terikat dengan kontrak sedia ada bersama Syarikat Jepak Holdings Sdn. Bhd. yang kini masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul dalam tempoh siasatan ini, pihak KPM telah menyediakan Notis Untuk Tujuan Penamatan (NUTP) kepada pihak kontraktor dan perkara ini dalam tindakan pihak berkuasa seterusnya. Bagi Parlimen Sibuti terdapat lapan (8) buah sekolah yang telah disenaraikan di bawah projek ini oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

Penyelenggaraan infrastruktur Institut Pendidikan Guru Kampus

12. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Jelebu yang amat prihatin terhadap isu infrastruktur IPG yang uzur terutamanya IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Untuk makluman YB Jelebu, hampir keseluruhan IPG kampus sudah berusia lebih dari 20 tahun dan memerlukan peruntukan yang besar bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan juga kemudahan. Sehingga 20 Mac 2019, jumlah peruntukan pembaikan yang telah diluluskan untuk IPGM di seluruh negara adalah RM2.063 juta bagi pembaikan Institusi dan RM1 juta bagi pembaikan kuarters.

13. Pada tahun 2019 ini juga, projek naik taraf IPG Kampus Ilmu Khas telah diluluskan di bawah rolling plan 4 RMKe-11. Jumlah kos projek dianggarkan sebanyak RM34 juta, bagi menaik taraf kemudahan akademik dan juga pembaikan kecil menggunakan peruntukan pembangunan.

Peruntukan RM50 juta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)

14. Isu berkaitan status peruntukan RM50 juta SJKT bagi tahun 2018telah dibangkitkan oleh YB Batu Gajah. Untuk makluman, daripada RM50 juta yang telah diluluskan untuk pembangunan SJKT bagi tahun 2018, sebanyak RM19.6 juta telah disalurkan bagi tujuan penyelenggaraan kepada Lembaga Pengurus Sekolah (LPS). Untuk baki peruntukan, KPM telah mengangkat permohonon kepada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kelulusan bagi tujuan tersebut.

Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang 16. Seterusnya YB Tangga Batu pula memohon penjelasan tentang status perpindahan kakitangan Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya ke Kampus Gambang. Untuk makluman YB, sebenarnya perpindahan kakitangan dan pelajar bukanlah dari Petaling Jaya kerana mereka telah meninggalkan Petaling Jaya lebih setahun yang lalu.

Mereka telah pun berpindah ke kampus-kampus UIAM yang berbeza, ada yang ke Gambang, ada ke Kuantan dan ada yang ke Gombak. Pusat Asasi di Kampus Gambang akan beroperasi sepenuhnya pada bulan Jun 2019 dan akan memberi kemudahan dan keselesaan prasarana untuk 5,000 orang pelajar dan 382 kakitangan akademik dan pentadbiran.

Tuan Yang di-Pertua,

BANTUAN / BIASISWA

18. Sebanyak lima (5) Ahli Yang Berhormat iaitu YB Cameron Highlands, YB Setiu, YB Pasir Puteh, YB Batang Sadong dan YB Setiawangsa telah mengemukakan cadangan dan pertanyaan berhubung bantuan pendidikan dan biasiswa.

Tuan Yang di-Pertua,

TVET

21. Isu berkaitan TVET telah dibangkitkan oleh YB Johor Bahru dan YB Cameron Highlands. Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh YB Johor Bahru, setakat ini seramai 1800 orang pelajar kohort 2018 dari Kolej Vokasional telah berjaya menyambung pelajaran ke Universiti.

22. Dari aspek piawaian, KPM komited untuk memastikan program di Kolej Vokasional memenuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia. Lanjutan itu, KPM telah mewujudkan kerjasama antara Kolej Vokasional dan Politeknik, Kolej Komuniti serta Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dari segi sumber, peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran termasuklah penambahbaikan kurikulum dan perkara ini dijangka selesai pada pertengahan tahun.

23. Manakala pertanyaan berhubung Kemahiran Vokasional untuk Anak-Anak Orang Asli seperti yang dibangkitkan oleh YB Cameron Highlands, sehingga kini bilangan murid orang asli yang mengikuti program Kolej Vokasional ialah seramai 115 orang.

Tuan Yang di-Pertua,

GURU DAN PENSYARAH

24. Seterusnya saya akan beralih kepada isu yang berkaitan guru dan pensyarah seperti yang dibangkitan oleh dua belas (12) orang Ahli Yang Berhormat iaitu YB Kapar, YB Batu Gajah, YB Ayer Hitam, YB Igan, YB Batu Kawan, YB Setiu, YB Jerai, YB Kuala Krau, YB Lubok Antu, YB Sarantok, YB Sekijang dan YB Bagan Serai.

Jika ditanya kepada saya, siapakah adiwira yang paling agung di seluruh galaksi; jawapan saya ialah guru. Siapakah pahlawan yang paling hebat dari seluruh peradaban; jawabnya ialah guru. Merekalah nakhoda yang sedang melahirkan angkatan pemimpin masa hadapan. Mereka ini jugalah yang telah disifatkan oleh bapa sasterawan negara A. Samad Said sebagai Obor Hemah. Mereka inilah Obor Hemah yang menyinari pertiwi. Dari sebuah kelas yang kecil, suara mereka terus bergempita menerobos sempadan dunia. Semalam, hari ini, esok

26. KPM juga telah mengeluarkan satu (1) Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan empat (4) surat pemakluman sebagai tindakan segera dalam menangani isu beban tugas guru pada awal Januari 2019.

Kekurangan guru

27. Terima kasih kepada YB Igan, YB Kapar, dan juga YB Ayer Hitam yang membangkitkan tentang kekurangan guru dan mencadangkan KPM membuat redeployment di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mengatasi masalah kekurangan guru dan taburan guru mengikut opsyen yang mismatched. KPM telah mengeluarkan arahan penempatan semula guru dari sekolah yang mempunyai lebihan guru ke sekolah yang kurang guru. Arahan penempatan semula telah dikeluarkan melalui surat Pelaksanaan Penempatan Semula (Redeployment) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) pada 23 Julai 2018.

28. YB Batu Gajah pula membangkitkan isu kekurangan guru opsyen Bahasa Melayu di SJKT. Untuk makluman, guru yang berkelayakan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu Tahap 1 di SJKC dan SJKT hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh bertutur dalam dwibahasa dan mempunyai kredit dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ketetapan ini adalah berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17 Tahun 2010 Pengajaran Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Di SJKC dan SJKT. Walau bagaimanapun, KPM bersedia menempatkan guruguru opsyen Bahasa Melayu yang telah menamatkan pengajian di IPG tanpa mengira jenis sekolah di masa yang akan datang.

Tuan Yang di-Pertua,

HAL EHWAL MURID/ PELAJAR IPT

29. YB Batu Gajah, YB Ayer Hitam, YB Kota Samarahan, YB Lembah Pantai, YB Port Dickson, YB Kanowit, YB Jelebu dan YB Cameron Highlands telah membangkitkan beberapa isu berkaitan hal ehwal murid dan mahasiswa di IPT.

Zero Reject Policy

30. Berhubung Zero Reject Policy bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) seperti yang dibangkitkan oleh YB Batu Gajah, ibu bapa dibenarkan untuk mendaftarkan MBK di mana-mana sekolah arus perdana. Walau bagaimanapun, memandangkan Dasar Sifar Penolakan MBK sedang dalam peringkat pemantapan secara berperingkat mulai tahun 2019, ibu bapa boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada JPN/PPD berhubung pilihan persekolahan dan penempatan bersesuaian bagi MBK mengikuti pendidikan.

Untuk makluman, ibu bapa dibenarkan menjadi pembantu guru di sekolah yang menempatkan anak MBK mereka. Ini adalah berdasarkan SPI KPM bil 1/2018 Garis Panduan Pelibatan Ibu Bapa/Penjaga dan Komuniti sebagai Sukarelawan di dalam Kelas (SdK).

SOP Keselamatan Sekolah - Berkaitan Isu Pembuangan Sisa Toksik di
Pasir Gudang

31. Seperti yang kita sedia maklum, negara kita telah digemparkan dengan tragedi pembuangan sisa toksik di Pasir Gudang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Tragedi ini turut memberikan kesan buruk kepada murid-murid dan guru-guru di sekitar kawasan tersebut. Untuk makluman YB Ayer Hitam, KPM sentiasa dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana dengan menyediakan garis panduan menghadapi bencana melalui Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil 21 Tahun 1998 dan Bilangan 9 Tahun 2009, Surat pemakluman Pengurusan Menghadapi Bencana di Sekolah dan Surat Peringatan Persediaan Menghadapi Bencana/Banjir.

32. Selain itu, KPM juga menyediakan bantuan bencana luar jangka seperti bantuan dari segi kaunseling dan psikologi dan bantuan kebajikan seperti sumbangan alat tulis, buku dan pakaian serta bantuan fizikal. Namun demikian, bagi bencana yang melibatkan sisa toksik, KPM belum mempunyai SOP yang khusus bagi situasi berkenaan. Sehubungan itu, KPM mengambil langkah dengan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kimia, Jabatan Alam Sekitar, Bomba dan agensi yang berkaitan bagi menyediakan SOP berkenaan.

Kebajikan Mahasiswa

33. Isu berkaitan kebajikan mahasiswa terutamanya mahasiswa dari kalangan keluarga miskin telah mendapat perhatian YB Lembah Pantai dan YB Jerai yang telah menyentuh isu penginapan mahasiswa di UM dan isu ikat perut di Institut Pendidikan Tinggi (IPT).

34. Pihak UM memberi keutamaan penginapan kepada pelajar dalam kalangan B40 dengan kapasiti sebanyak 12,418 katil dalam kampus. Bagi penginapan luar kampus, Lembaga Pemegang Amanah Kolej Islam Malaya (LAKIM) sedang membantu untuk menyewa fasiliti di Petaling Jaya (dahulunya Matrikulasi UIAM) yang mampu menyediakan tambahan 2,500 katil bagi pelajar UM. Pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM juga telah memperuntukkan sebanyak RM80,000 setahun untuk semua urusan berkaitan pelajar luar kampus, dan pihak UM juga menyediakan kemudahan bus shuttle kepada pelajar yang tinggal di luar kampus.

35. Berhubung dengan isu ikat perut, KPM sejak dari dahulu bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan melalui pelbagai program bantuan termasuklah program Skim Zakat dan Bantuan Kebajikan Pelajar, HEP Food Coupon, Food Pantry di Kolej/Fakulti/Persatuan, HEP Emergency Cash, Central Kitchen, UM Campus Foodbank dan FSSS Food Pantry di UM.

Dalam masa yang sama bantuan-bantuan lain yang sedang dilaksanakan ialah Program Foodbank Malaysia. Pihak UM, UKM dan UPM telah dipilih sebagai universiti perintis untuk program ini dan ia akan diperluaskan ke IPT lain. Terima kasih kita ucapkan kepada KPDNHEP atas usaha ini. Pihak KPM sedang bekerja keras untuk menyelesaikan isu ini.

Tuan Yang di-Pertua,

KURIKULUM, PENTAKSIRAN DAN KOKURIKULUM

Tuan Yang di-Pertua,

MEMARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN

44. Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh YB Tangga Batu berhubung memartabatkan bahasa kebangsaan, perkara ini jelas diperuntukkan dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu, dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32] yang memperuntukkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi serta diterjemahkan dalam surat pekeliling am untuk sektor awam. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi maksud rasmi perlu digunakan dalam segala urusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam.

45. Dewan Bahasa dan Pustaka melaksanakan tanggungjawab menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Namun, tanggungjawab memperkasakan penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja terletak pada bahu DBP tetapi turut menjadi dukungan semua kementerian, badan bukan kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan peringkat umur di negara ini. Bahasa jiwa bangsa. Munsyi Abdullah pernah berpesan, “Aku dengar, bangsa-bangsa yang besar di dunia ini mereka memiliki kepandaian membaca dan menulis dan memelihara bahasanya. Bahasa itu ditambah dan diluaskan, dibaiki dan dihaluskan sehingga kini. Sesuatu bangsa yang besar, besarlah bahasanya.”

Tuan Yang di-Pertua,

LAIN – LAIN

47. YB Kota Samarahan menyarankan agar kompetensi dan kapasiti PIBG ditingkatkan seperti melaksanakan jalinan pintar. KPM amat mengalualukan sebarang bentuk kerjasama dengan pelbagai pihak dari segi sumbangan kemahiran, kepakaran dan sebagainya yang boleh diperluaskan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terutama jalinan pintar bersesuaian dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018:
Sekolah Milik Masyarakat.

Sekolah boleh dijadikan sebagai hub komuniti bagi menghubungkan komuniti setempat dengan pihak-pihak berkepentingan lain dalam memastikan kemenjadian murid tercapai. Untuk makluman, penekanan KPM sekarang adalah untuk meluaskan cakupan pelibatan masyarakat di dalam pembangunan pendidikan. Maka, PIBG yang hanya terhad pada ibubapa dan guru telah dikembangkan menjadi PIBK untuk memastikan Komuniti turut sama terlibat.

KPM mengalu-alukan pelibatan yang lebih luas dari semua pihak NGO, individu, syarikat swasta, IPT, budayawan dan lain-lain. Ini selaras dengan aspirasi KPM untuk menjadikan sekolah milik komuniti, universiti milik masyarakat. Pendidikan milik semua. Bak kata pepatah Afrika, “it takes a village to raise a child”.

PENUTUP

Tuan Yang di-Pertua,

48. Sekali lagi kementerian mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas keprihatinan, perhatian, teguran dan sokongan yang berterusan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, khasnya terhadap usaha-usaha yang dijalankan oleh KPM. Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh YB yang tidak dapat saya sentuh kerana kesuntukan masa akan diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

Akhir kalam, izinkan saya untuk memetik semula ucapan agung Tokoh Maal
Hijrah Negara, Dato’ Dr Siddiq Fadzil;

“Di balik kata Malaysia Baharu, tersirat makna segunung harapan terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjamin keselamatan. Segala harapan tersebut hanya dapat direalisasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya. Malaysia Baharu harus benar-benar suatu ‘departure’, suatu anjakan mendasar dari era sebelumnya, era yang tercedera dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa pelanggaran hak asasi manusia dan keruntuhan nilai-nilai moral.”

Sekian, terima kasih.
26 Mac 2019

IlyTrolak: "Text Here"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan