Selesaikan Segera Wang Sara Hidup Peneroka Felda - ANAK - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Sabtu, 14 Julai 2018

Selesaikan Segera Wang Sara Hidup Peneroka Felda - ANAK

Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) merayu kepada kerajaan baharu agar cakna nasib peneroka Felda yang masih tidak menerima wang sara hidup.

Timbalan Presiden Anak Nasaie Ismail berkata, sehingga Khamis 12 Julai masih ada peneroka Felda yang tidak menerima wang sara hidup atau boleh juga disebut gaji bulanan mereka yang kebiasaannya diterima selewat lewatnya 25 haribulan setiap bulan.

“Anda yang berada luar daripada masyarakat Felda boleh bayangkan gaji dibayar lewat dua minggu? Jika peneroka yang bergantung sepenuhnya hidup kepada wang tersebut, ia sangat menyeksakan untuk perbelanjaan harian mereka,” tulis beliau di Facebooknya.

Menurutnya, ketika menyertai rombongan perwakilan Majlis Permuafakatan Ngo Felda (MPNF) bertemu pentadbiran Felda kelmarin, soalan berkait kelewatan bayaran wang sara hidup ini ditanya sebanyak tiga kali kepada Pengarah Besar Felda Datuk Ghani dan pengarah pengarah kanan yang lain.

“Hampir hampir tiada jawapan yang tuntas diberi kepada kami walaupun sudah diperingatkan bahawa dia belum lagi menjawab soalan penting kami itu. Seperti mengelak untuk menceritakan hakikat yang sebenar,” katanya.

Anak turut dimaklumkan oleh Setiausaha MPNF bahawa surat dan pemakluman sudah dihantar kepada menteri yang berkenaan Felda untuk bertemu namun sudah lebih dua minggu tiada jawapan diberikan.

Tegas beliau, ia masalah yang perlu disegerakan diberi perhatian kerana MPNF bukan sebarangan Ngo tetapi ia adalah gabungan ngo-ngo yang mewakili kakitangan Felda dan generasi kedua Felda.

“Dua pertubuhan kakitangan Felda dan 4 pertubuhan generasi kedua iaitu Majlis Belia Felda (MBFM), Kami Anak Felda (KAF) yang dilihat sebelum ini cenderung kepada pentadbiran yang lalu dan juga Suara Generasi Ke 2 Felda (SGK2F) serta ANAK yang dikatakan cenderung kepada kerajaan yang baharu. Pokoknya MPNF mahu memberi maklumat dan sumbang saran kepada YB Menteri berkait
kemelut yang melanda Felda agar tindakan segera boleh dilakukan oleh kerajaan baharu,” katanya.

Dalam masa yang sama Anak mempunyai maklumat hasil-hasil yang sepatutnya masuk ke kantung Felda sama ada perlombongan pasir, pengeluaran sawit di tanah Felda dan lain lain perniagaan hanya masuk ke kantung individu individu.

Ini semua katanya sebahagian yang boleh dicatat berlaku selepas pertukaran kerajaan dan belum lagi dikira perebutan projek dan jawatan diperingkat rancangan atau kampung-kampung Felda sesama bekas penyokong kerajaan lalu dengan penyokong kerajaan yang baharu.

“JKKK, JKKR, GPW, Belia dan sebagainya yang menjadi api dalam sekam perbalahan sesama warga Felda. Kerana apa? Belum ada panduan atau arahan yang jelas bagaimana sepatutnya berlaku dibawah pemerintahan Baharu.

Pokoknya semua masalah ini dilakukan oleh siapa pun, ianya berlaku dibawah pemerintahan baharu.

“Felda mengalami masalah kewangan yang tenat, hutang berjumlah hampir RM9 billion dan sudah cukup matang untuk dibayar hutang hutang tersebut. Peneroka pula menerima wang sara hidup yang lambat yang tidak pernah berlaku dizaman pemerintah yang lalu,” tegas beliau.

Katanya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana Felda bukan sepenuhnya organisasi korporat seperti Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan lain lain yang hanya menguruskan dana dan perniagaan, tetapi menguruskan 112 ribu keluarga peneroka dan hampir tiga juta warga Felda.

Di dalam PRU14 lalu, katanya, majoriti di parlimen Felda rakyat memberi isyarat menolak BN dan najib Tun Razak akibat kerosakan teruk Felda yang berlaku di zaman BN.

Pakatan Harapan pula tambahnya, tanpa 19 kerusi Felda, tidak akan boleh membentuk kerajaan. “Jangan abaikan mereka. Undi tidak selama lamanya milik kita. Hentikan berpolitik. Jangan sampai rakyat lapar dan mereka mula bertindak. Ini bukan wayang, anda boleh pergi ke page atau group Facebook anak anak Felda dan lihat reaksi mereka,”katanya. - Malaysia Dateline

IlyTrolak: "Sara hidup ni untuk keperluan para peneroka dan keluarga, menampung kehidupan setiap hari."
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan