Kemurungan Kalangan Guru Serius – NUTP - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Khamis, 26 Julai 2018

Kemurungan Kalangan Guru Serius – NUTP

KUALA LUMPUR 25 Julai - Masalah kemurungan dalam kalangan guru disifatkan cukup serius ketika ini terutama membabitkan mereka yang bertugas di bandar besar sehingga memerlukan tindakan segera daripada Kementerian Pendidikan untuk menanganinya.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak berkata, perkara ini berlaku akibat bebanan kerja yang semakin meningkat apabila perlu mengendalikan kelas yang mempunyai sehingga 60 murid.

Katanya, sedangkan kelas bagi sekolah di luar bandar hanya mempunyai bilangan murid separuh daripada jumlah itu dan ini menyebabkan kes kemurungan guru di bandar besar dilaporkan semakin meningkat setiap tahun apabila tiada tindakan bagi menanganinya.

“Apabila jumlah murid terlalu ramai dalam satu kelas, maka bukan sahaja tugas mengajar makin mencabar bahkan tugas perkeranian yang juga sebahagian daripada tanggungjawab guru turut bertambah.

“Ini belum ditambah dengan faktor lain seperti masalah kewangan, masalah peribadi serta tekanan daripada ibu bapa. Jika cabaran ini tidak ditangani maka berlakulah kes kemurungan dan saya boleh dikatakan perkara ini cukup serius,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai seorang guru wanita berusia 36 tahun yang mengalami kemurungan ditemukan mati dalam keadaan terlentang dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah pasar raya di Ipoh, minggu lalu kerana tidak dapat menerima beban kerja yang banyak.

Ahad lalu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik turut mendedahkan masalah kekurangan guru di bandar besar semakin serius terutamanya melibatkan negeri Johor dan Selangor berikutan ramai yang cenderung untuk bertugas di kampung halaman masing-masing.

Sementara itu, sebagai salah satu cara bagi menangani masalah ini, Kamarozaman berkata, guru kaunseling untuk guru juga perlu disediakan Kementerian Pendidikan kerana setelah mengambil kira cabaran semasa, ternyata bukan murid sahaja perlu menjalani sesi kaunseling. - Utusan Melayu


IlyTrolak: "Teringat peristiwa seorang guru di Ipoh yang terjun bangunan di Ipoh"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan