Tanah FELDA Umpama Lombong Emas - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Rabu, 16 September 2020

Tanah FELDA Umpama Lombong Emas

Dalam satu pertemuan bersama dengan Pengerusi FELDA sebelum Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Slim yang lepas, kalimat "FELDA Adalah Lombong Emas" merupakan slogan yang menjadi pilihan Pengerusi FELDA pada kali ini.

Memang tidak dinafikan kenyataan yang telah diberikan. Namun, keinginan untuk mengetahui secara lebih dalam tentang kandungan berkaitan perkara tersebut, menemukan kepada satu wawancara pihak Berita Harian bersama Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris bin Jusoh.

Berikut disisipkan kembali temubual wartawan tersebut yang disiarkan dalam dalam ruangan Nasional akhbar dalam talian pada Ahad, 19 Julai 2020 pukul 2:49pm.


FELDA mahu menjadi peneraju utama sektor pertanian pintar dan pengeluaran makanan di negara ini dengan memanfaatkan sepenuhnya aset tanah yang dimilikinya. Dengan strategi tepat dan keazaman utuh akan membolehkannya menjadi organisasi global serta tersenarai dalam Fortune 500 pada masa akan datang.
Itu antara aspirasi Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh selepas dilantik menerajui FELDA pada 1 Mei 2020 dan berpendapat, organisasi itu memiliki potensi amat besar, bukan sekadar dalam sektor sawit semata-mata. Bagi beliau, FELDA umpama 'lombong emas' kerana pemilikan tanah terbesar di negara ini dengan keluasan lebih dua juta ekar atau 800,000 hektar boleh membuka banyak peluang baharu, sekali gus memanfaatkan peneroka dan juga negara. Wartawan BH, Mahanum Abdul Aziz berkongsi aspirasi dan visi pengerusi baharu FELDA ini yang komited dalam usaha memastikan agensi berkenaan terus maju dan mencapai pertumbuhan stabil dan lestari.

S: Apa pandangan Datuk Seri mengenai FELDA apabila dilantik menjadi pengerusinya?
J: Sebenarnya sebelum dilantik, saya anggap FELDA ini hanya organisasi berkaitan kelapa sawit. Jadi, kita melihat kelapa sawit, bagaimana kelapa sawit akan tingkatkan pendapatan peneroka, hendak tingkatkan hasil peneroka dan mengurangkan kos. Jadi, kita ingat ia mudah. Namun, apabila datang ke FELDA, ia lebih besar daripada itu. Ini satu tanggungjawab besar. Ramai yang lupa FELDA adalah agensi pembangunan tanah. Bagaimana untuk membangunkan tanah? Tanah simpanan kita besar. Dengan aset yang begitu baik, ia menjadi 'lombong emas'. Emas pula tidak akan kita dapat jika kita tidak gali. Kita kena melihat apa itu FELDA. FELDA potensinya besar. Oleh sebab itu, keluar naratif FELDA itu 'lombong emas'. Sebenarnya kata-kata itu bukan datang daripada saya. Ia daripada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. Apabila saya dilantik, saya berjumpa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kemudian dengan semua tokoh berkaitan FELDA. Saya berjumpa semua pihak kerana saya ingin mendalami apa sebenarnya FELDA.


S: Apa yang Datuk Seri maksudkan dengan FELDA lebih besar daripada yang dijangkakan?
J: FELDA mempunyai tanah lebih sejuta ekar, dengan FGV Holdings Bhd pula kita ada sejuta ekar lagi atau lebih 400,000 hektar tanah. Ini bermakna tanah simpanan kita miliki secara keseluruhan lebih dua juta ekar. Dari segi warga FELDA pula, mulanya kita mempunyai 112,638 peneroka. Peneroka asal hampir 46 peratus sudah meninggal dunia dan yang tinggal berusia lebih 60 tahun. Justeru, saya melihat perspektif FELDA, penerokanya ialah orang muda iaitu generasi kedua, ketiga dan keempat. Ia beralih daripada generasi asal kepada generasi kedua. Oleh sebab itu, kita mengembalikan konteks peneroka perintis yang berani, sukakan cabaran dan ia adalah konteks asas yang menjadi kelebihan dalam kemajuan FELDA.

S: Apa kelebihan dengan memiliki aset tanah yang besar?
J: Apabila melihat tanah sebagai aset yang begitu besar sekali, yang harganya terus meningkat. Jadi kita melihat, dengan tanah yang berjuta ekar, penerokanya dengan generasi kedua, ketiga yang hampir dua juta orang. Malah, ada antara mereka yang jadi orang besar, jutawan dan memegang jawatan besar dalam kerajaan. Saya melihat ini potensi besar yang melangkaui apa yang saya fikirkan. FELDA adalah 'lombong emas' kerana potensi harga tanah, aset yang sentiasa naik dan juga warganya yang begitu besar sekali.

S: Bagaimana FELDA boleh memanfaatkan peluang yang ada?
J: Saya selalu berfikir besar. Saya kata, saya mempunyai track record, saya boleh berfikir besar kerana ketika saya di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), ramai yang persoalkan, bolehkah kita berada dalam kedudukan 100 universiti terbaik dunia? Saya berjanji dengan Perdana Menteri pada 2013, beri saya dua tahun, kita akan melepasi kedudukan 100 terbaik. Selepas tiga tahun, kita berjaya. Malah, sekarang kita bukan saja bercakap melepasi kedudukan 100 terbaik. Universiti Malaya kini di tangga ke-59 dunia daripada kedudukan 167. Saya selalu menetapkan sasaran tinggi. Anda boleh lihat kepada peta minda saya, peta minda mengenai apa yang hendak FELDA capai pada masa depan. Dengan tanah yang begitu luas dan nilainya yang sentiasa meningkat serta warga FELDA yang terdiri daripada mereka yang berpangkat besar, jutawan dan hartawan, ahli akademik, pakar bedah, kita hanya perlu untuk mengumpulkan mereka. Setiap hari, saya melihat Menara PETRONAS (setinggi) 88 tingkat. Dalam tempoh 20 tahun akan datang, anda akan melihat FELDA yang berbeza, ada menara 99 tingkat, tersenarai dalam Fortune 500.

S: Apa pendekatan yang ada dalam perancangan Datuk Seri untuk tujuan itu?
J: Seperti yang saya katakan, saya mempunyai track record dalam delivering, tetapi pendekatan orang adalah berbeza. Lazimnya, mereka menggunakan pendekatan untuk masa depan yang lebih kepada struktur, proses. Perlu saya tekankan untuk FELDA, pendekatan ialah human design engineering. Ini berbeza sebab saya melihat perkara dari sudut yang berbeza. Ini adalah pendekatan saya ketika di KPT. Human design engineering adalah sains minda. Jika anda fikir anda boleh lakukan, anda akan cari jalan membuatnya, jika anda fikir tidak boleh buat, anda tidak akan buat. 'Anda adalah apa yang anda fikir, anda adalah apa yang anda rasa, anda adalah apa yang anda kata, anda adalah apa yang anda lakukan.'
S: Adakah pembangunan tanah FELDA akan hanya ditumpukan kepada sawit selepas ini?
J: Tidak. Kita akan beralih daripada satu jenis tanaman saja. Berbalik kepada sejarah, dulu kita tanam getah apabila Lembah Bilut dibangunkan pada 1956. Kemudian, kita beralih kepada kelapa sawit kerana ia adalah tanaman dengan hasil yang tinggi dan mampu memberi pendapatan lebih baik. Justeru, ia tidak bermakna kita tidak boleh berubah. Namun, kita tidak akan buat sewenang-wenangnya kerana kita akan melihat apa yang perlu. Tambahan pula sekarang, dengan ladang pintar, kita tidak perlu tanah yang banyak sangat. Tanaman yang menjana hasil tinggi seperti buah tin, RM100 sekilogram. Kita boleh guna fertigasi, kita guna rumah hijau. Rumah hijau akan mengawal racun serangga, air dan banyak lagi, ia adalah ladang pintar. Kalau hendak tanam durian juga boleh. Kita akan cari benih FELDA, yang mana ia lebih hebat daripada Musang King, Black Thorn. Ini adalah proses, ia bukan boleh terus jadi keesokan harinya. Jadi, kita akan gunakan pendekatan berbeza.

S: Boleh Datuk Seri kongsikan apa perancangan dan pendekatan baharu FELDA?
J: Perancangan strategik kerajaan bagi FELDA memberi penekanan kepada pelan pembangunan sosioekonomi yang komprehensif, meliputi aspek keusahawanan dan prasarana serta pembentukan akhlak dan sahsiah masyarakat peneroka baharu yang progresif, inovatif dan berdaya saing. Malah, pendekatan baharu yang akan diguna pakai oleh FELDA berpandukan matlamat 'pembentukan hasil terbaik' atau well formed outcome yang memberi tumpuan kepada lima tonggak utama, iaitu tadbir urus, peneroka, ladang, pendidikan dan keberkatan.

S: Apa yang ingin FELDA capai menerusi tadbir urus?
J: Aspek tadbir urus memberi penekanan kepada pelaksanaan keseluruhan struktur kumpulan FELDA bagi meningkatkan tahap profesionalisme berasaskan tadbir urus korporat yang terbaik. Ini termasuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber manusia yang optimum serta berintegriti, menyelesaikan isu pewarisan tanah melalui pelaksanaan program pengemaskinian data pemilikan tanah peneroka yang bakal memuktamadkan maklumat pewarisan. Tadbir urus juga merangkumi menangani cabaran kewangan termasuk aliran tunai, penyata hutang peneroka serta menyasarkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1 bilion menjelang 2022.

S: Bagaimana pula dengan peneroka?
J: Pendekatan baharu bagi FELDA adalah aspek yang amat penting iaitu peneroka. Antara tumpuan utama adalah perancangan untuk membantu peneroka mencapai pendapatan melebihi RM5,000 sebulan menjelang 2023, mewujudkan 1,000 usahawan jutawan dalam kalangan peneroka menjelang 2025 serta melaksanakan program dan inisiatif yang bakal menggalakkan pembabitan dan pemerkasaan generasi baharu peneroka. Ini termasuk penambahbaikan infrastruktur sosial dan fizikal dan meningkatkan kualiti pendidikan dan jati diri generasi baharu.

S: Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai pendekatan memantapkan ladang?
J: Aspek ladang adalah tonggak ketiga. Antara isu yang harus ditangani serta merta termasuk isu kelemahan pengurusan ladang yang menyebabkan penjanaan hasil yang tidak optimum, menyasarkan pengeluaran hasil sebanyak 25 tan sehektar menjelang 2023, peningkatan kadar perahan minyak (OER) serta penggunaan teknologi moden, mekanisasi, automasi dan pertanian pintar secara bersepadu.

S: Bagaimana pula dengan pendidikan anak FELDA?
J: Pendidikan menjadi tonggak keempat pendekatan baharu FELDA. Usaha akan dipergiatkan dalam pelaburan modal insan bagi memastikan akses yang saksama kepada pendidikan dan latihan yang berkualiti kepada anak peneroka FELDA. Ini termasuk sekolah pintar, latihan kemahiran dan juga neuro linguistic programming yang fokus kepada aspek kesedaran diri dan komunikasi yang berkesan untuk mengubah corak tingkah laku mental dan emosi.

S: Boleh Datuk Seri kongsikan apa yang mahu dilakukan menerusi pendekatan keberkatan?
J: Pendekatan kelima ialah inisiatif yang membawa keberkatan. Antara inisiatif yang dikenal pasti adalah Tabung Wakaf FELDA yang bakal dilaksanakan pada Disember ini. Wakaf adalah satu sektor yang perlu dikembangkan di samping keberkatannya. Wakaf adalah kerangka ekonomi, ramai orang tidak sedar. Kita cadang 30 peratus daripada pendapatan akan diwakafkan. Jika kita ada RM1 bilion dan 30 peratus daripadanya diwakafkan, maka dalam tempoh 10 tahun kita sudah mempunyai dana berjumlah setengah bilion.

S: Pada 7 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan mengenai penubuhan sebuah pasukan petugas khas untuk mencari kaedah terbaik bagi memastikan kemapanan kewangan dan kelestarian FELDA. Boleh Datuk Seri ulas lebih lanjut?
J: Pasukan petugas khas ini dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar (Pengerusi Bukan Eksekutif Bursa Malaysia). Saya dan Tan Sri Mohd Bakke Salleh (bekas Pengerusi FELDA) sebagai (ahli) jawatankuasa. Kita mendengar (suara) peneroka, lembaga pengarah, Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF) dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM). Kita mendengar daripada semua pihak. Kita akan merangka model perniagaan baharu FELDA untuk melangkah ke depan. Ia adalah menyeluruh. Cadangan akan dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh dua bulan.
-
Sumber: Berita Harian Online
IlyTrolak: "Walaupun isu yang dikemukakan dah berlalu dalam 2 bulan lepas, sehingga kini masih memerhati apakah gerak kerja yang menjelaskan temubual tersebut, agar tidak menjadi hanya satu slogan. Pastikan manfaat bukan hanya kemegahan negara tetapi manfaat yang dapat dikecapi oleh seluruh warga FELDA, khususnya peneroka dan generasi FELDA
Apa yang tidak selera didengar pada pertemuan bersama Datuk Seri Pengerusi FELDA, hasrat membina menara FELDA setinggi 99 tingkat. Apakah relevannya???
Contohi sahaja KLCC yang menjadi kemegahan Malaysia, berapa ramai rakyat marhain yang dapat membeli belah di tempat tersebut? Jika dilihat peluang pekerjaan, daripada 32 juta penduduk Malaysia kini, berapa banyak peluang perkerjaan yang disediakan untuk warganegara terutama rakyat marhain ini.
Tak perlu jelaskan lagi tentang kenikmatan daripada kemegahan untuk pembinaan bangunan.
Fokus kepada masa depan peneroka dan generasi FELDA perlulah menjurus kepada peningkatan taraf kehidupan kluster tersebut."
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan