Di Mana Guru Selepas Waktu Sekolah? - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Selasa, 29 September 2020

Di Mana Guru Selepas Waktu Sekolah?

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
28 September 2020,
9:00 am

SAUDARA PENGARANG,

Penularan pandemik Covid-19 masih belum berakhir, malah angka jangkitan semakin meningkat sejak kebelakangan ini sekali gus amat merisaukan.

Walaupun tiada tanda untuk pulih, orang ramai tetap mengambil kesempatan untuk bercuti di dalam negara.

Ya, ia amat bagus dalam membantu ekonomi untuk pulih, namun apa yang dirisaukan adalah kemungkinan virus itu berjangkit amat tinggi terutama melibatkan kanak-kanak.

Apabila di sekolah, kanak-kanak ini bergaul sehingga lupa pesanan untuk menjaga penjarakan sosial dan tidak menyentuh sesama mereka.

Lihat sahaja cara mereka bermain dan berbual selepas tamat sesi persekolahan, langsung tidak akur kepada arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Tiada pula kelihatan guru mengawal atau memantau pelajar di luar sekolah yang agak bebas bergaul dan bermain.

Bukan hendak menyalahkan guru yang terbeban dengan tanggungjawab mengajar, namun sekiranya ada pemantauan daripada pihak sekolah, kemungkinan pelajar akan lebih patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ini kerana kita tidak pasti pergaulan pelajar di luar sekolah, ke mana mereka pergi dan berjumpa dengan siapa sekali gus kebolehjangkitan itu amat tinggi.

Justeru, amat penting untuk pihak sekolah sentiasa berwaspada dan meningkatkan peraturan terutama ketika wabak ini masih berada pada tahap merisaukan.

IZYAN QISTINA QUSAIRI
Ampang, Selangor

Sumber: Utusan Digital

IlyTrolak: "Tohmahan yang dilemparkan terus kepada golongan guru. Mengapa semua perkara perlu diletakkan di atas bahu guru? Walaupun pada ketika itu, pelajar-pelajar telah berada di luar kawasan sekolah. Adakah benar ia masih tanggungjawab pihak sekolah?

Paling hebat, pihak akhbar juga bertindak menyiarkan. Tujuan menyiarkan perkara ini adalah tidak dapat dipastikan.

Adakah pihak akhbar bersetuju dengan apa yang ditohmahkan atau pihak akhbar ada tujuan lain?

Di manakah sebenarnya bidang kuasa pihak sekolah? Adakah benar sehingga pelajar telah selesai sesi persekolahan dan berada di luar kawasan sekolah, pihak sekolah perlu mengawasi para pelajar ini?

Persoalan lain pula, DI MANA PULA EMAK DAN BAPA ATAU PENJAGA PELAJAR? Adakah mereka hanya sibuk dengan tugas dan tanggungjawab dalam pekerjaan mereka?

Adakah tanggungjawab dalam pekerjaan tersebut boleh menafikan amanah dari Allah? Bukankah anak itu amanah daripada Allah?

Apakah ibu bapa atau penjaga tidak mengetahui waktu pulang anak masing-masing?

Tidakkah ibu bapa dan penjaga menasihatkan anak-anak masing-masing agar mematuhi SOP ketika di luar rumah atau di tempat awam?

Jika ibu bapa dan penjaga telah menasihati anak-anak masing-masing, mengapa anak masih berkeliaran???

Nampak gayanya cakap ibu bapa pun anak-anak tak nak dengar...

Banyak persoalan yang akan dihujahkan sekiranya masing-masing ingin mencari kesalahan...

Sepatutnya antara ibu bapa dan pihak sekolah perlu saling memahami dan tidak meletakkan sepenuh tanggungjawab terhadap satu pihak sahaja.

Yang pastinya IZYAN QISTINA QUSAIRI dari Ampang, Selangor harus sedar peranan sendiri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan."
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan