Jemaah Awal Saf Belakang - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Jumaat, 31 Julai 2020

Jemaah Awal Saf Belakang

Ah!!! hari ini mesti ramai... Kalau lambat alamatnya kena duk luar atau balik... Berkebetulan dengan cuti dan seluruh umat Islam sedang melepaskan keinginan untuk beraya di kampung pada kali ini, selepas larangan pergerakan ke kampung pada Syawal lepas.

Perasaan gusar tetiba apabila melihat jam di dinding hampir pukul 12:45. Bergegas memperlengkapkan diri, mencapai apa yang patut dan menerpa apa yang sempat.

Alhamdulillah, belum lagi pukul 1:00.

Sebuah senyuman dilemparkan kepada surihati yang dari tadi memerhati.

Mencapai handle motosikal dipegang beserta menekan tombol penghidup enjin motosikal, terus menuju ke destinasi.

Ah!!! tertinggal pulak... berpatah balik ke rumah.

Melintas lagi tersipu-sipu senyuman yang dilemparkan... sesali kecuaian.

Sejadah disandang dibahu, perjalanan dimulakan kembali menuju ke rumah Allah.

Tiba di perkarangan, begitu ramai jemaah yang telah berbaris menunggu giliran untuk memasuki ruang solat.

Bermulalah pelagai pertanyaan di fikiran. Walaupun waktunya masih awal, tetapi pastinya jemaah sedia ada di ruang solat mungkin hampir penuh.

Dalam susunan baris yang agak panjang, kelihatan di baris tengah dari 3 baris agak kurang. Mencelah pantas untuk menempatkan diri di barisan tersebut.

Alhamdulillah... Itulah yang dikatakan rezeki... berada dikedudukan ke 4 dari depan. Walhal di baris kiri dan kanan melebihi 10 orang sedang berbaris.

Sebaik berada dalam barisan, terdengar tazkirah baru dimulakan... Sambil menunggu giliran dalam baris, mata melilau melihat gelagat jemaah lain di hadapan dan telinga mendengar tazkirah yang sedang ke udara.

Menjadi rutin di masjid ini, ketika menunggu masuk waktu solat Jumaat, terdapat Ustaz yang memberi tazkirah. Pengisian yang bermakna dan bermanfaat.

Kelihatan petugas masjid yang diamanahkan untuk melaksanakan kerja perekodan. 5 orang semuanya... 3 orang memantau rekod dicatatkan oleh jemaah, 2 orang sibuk mengimbas suhu di kepala, manakala seorang lagi bertindak sebagai penyelaras.

Mereka ini merupakan insan-insan yang perlu hadir awal, agar jemaah dapat disaring sebelum masuk ke ruang solat untuk menunaikan aolat Jumaat.

Seusai suhu diimbas dan mengisi rekod kehadiran, ruang solat dimasuki dan kelihatan telah ramai jemaah yang sedang kusyuk mendengar tazkirah.

Mata sekali lagi melilau-lilau meninjau tempat-tempat kosong yang dibenarkan untuk jemaah menempatkan diri untuk solat...

Di bahagian saf hadapan terdapat beberapa tempat yang kosong. Dalam hati mungkin itu tempat yang telah dikhaskan untuk petugas tadi.

Berniat iktikaf betul-betul di tengah-tengah ruangan solat bertentangan dengan mimbar, sambil mendengar tazkirah yang disampaikan.

Jemaah berterusan masuk dan sesekali mendengar arahan-arahan yang diberikan oleh para petugas kepada jemaah yang hadir.

Tetiba mata tertarik kepada seorang jemaah yang lalu di hadapan, langkahnya menyusuri saf demi saf, sehingga ke hadapan. Tinggal beberapa tempat sahaja di bahagian hadapan, tidak cukup untuk kesemua petugas tadi.

Kemudian diikuti beberapa jemaah lain yang terus mengisi kekosongan tempat di saf hadapan. Meleset sangkaan awal tadi dan sedikit rasa kecewa.

Di dalam hati "Kalau macam tu, baik tadi terus sahaja ke saf hadapan..." Tapi, ketentuan rezeki Allah yang Maha Mengetahui.

Syukur masih berkesempatan untuk turut serta sebagai jemaah pada hari ini.

Terlintas di fikiran, "petugas tadi di saf mana???"

Mereka lebih awal hadir dari jemaah yang sedang berpusu-pusu masuk tetapi tempat tiada di saf hadapan.

Mereka akan memasuki ruang solat dan berada dalam saf setelah jumlah jemaah mengikut kapisiti penjarakan yang ditetapkan dipenuhi.

Bermakna berkemungkinan besar mereka akan berada di saf yang ditinggalkan di bahagian belakang.

Apakah ini juga dianggap sebagai pengorbanan??? Berkorban untuk jemaah lain mendapat ganjaran pahala yang lebih berbanding diri sendiri. Tetapi, tugas mereka juga mempunyai ganjaran yang terbaik.

Pada pandangan peribadi, sepatutnya para petugas ini diberi keutamaan khas sebagai jemaah di saf bahagian hadapan.

Memang ramai yang mengetahui ganjaran berada di saf hadapan, sebagaimana yang diterangkan oleh Ustaz yang memberi tazkirah semasa menunggu waktu solat Jumaat tadi. Namun, mereka juga patut berada di saf hadapan.

Sumber Foto: Sinar Harian

IlyTrolak: "Perlunya diletakkan label khas untuk petugas agar mereka berada di saf hadapan ketika solat. Label bertujuan agar jemaah lain tidak mengambil tempat mereka. Jemaah lain sepatutnya lebih faham"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan