Ibu Bapa Ukur Harga Dan Kualiti Kelengkapan Sekolah - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Ahad, 29 Disember 2019

Ibu Bapa Ukur Harga Dan Kualiti Kelengkapan Sekolah

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 29 Dis -- Ibu bapa memanfaatkan cuti hujung minggu terakhir tahun ini dengan berkunjung ke pusat beli-belah bagi menyelesaikan urusan menyiapkan kelengkapan persekolan anak masing-masing yang akan bermula beberapa hari lagi.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi beli-belah di ibu negara mendapati kebanyakan ibu bapa bersama anak-anak memilih dan membeli barangan kelengkapan sekolah seperti baju, kasut dan beg mengikut kemampuan masing-masing selain daripada menitikberatkan kualiti.

Bapa kepada empat cahaya mata lelaki, Mohd Sam Baharuddin, 48, sanggup menempuh perjalanan sejauh 70 kilometer dari Bentong ke pusat bandaraya bersama isteri dan anak-anak tercinta untuk bercuti sambil membeli kelengkapan sekolah seperti kebiasaan yang dilakukan saban tahun.

"Saya bersama anak dan isteri memang akan ke ibu negara setiap tahun untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak, pusat pakaian ini adalah pilihan kami kerana mempunyai pelbagai variasi dan harga juga berpatutan.

Mohd Sam berkata perbelanjaan persekolahan tahun ini meningkat berbanding tahun sebelumnya kerana harga barangan sekolah sedikit melonjak.

"Harga kasut sekolah sedikit mahal, untuk dua anak saya belanja kasut dan stokin hampir RM150 dan pakaian seragam pula RM200.

Pemerhatian wartawan mendapati harga baju dan seluar pelajar lelaki sekolah menengah ialah daripada RM26.90 hingga RM46.90 sementara kelengkapan sepasang baju dan kain pelajar perempuan adalah daripada RM46.90 hingga RM49.90.

Harga kelengkapan baju dan seluar pelajar lelaki sekolah rendah pula pada lingkungan harga RM16.90 hingga RM39.90 dan pelajar perempuan pada harga RM33.90 hingga RM41.90 sepasang persalinan seragam.

Bagi Wendy Jack, 47, pula beliau membeli di tempat yang menawarkan kepelbagaian jenama berkualiti selain menepati citarasa dan kehendak anak perempuannya yang berusia sembilan tahun.

Wendy yang bekerja di syarikat swasta berkata sudah menjadi rutinnya setiap tahun meletakkan had perbelanjaan sebanyak RM500 untuk segala perbelanjaan kos kelengkapan sekolah anak perempuan itu termasuk ko-kurikulum.

Bagaimanapun ibu kepada tiga cahaya mata, Vanitha Malar, 42, berbelanja kira-kira RM1,500 untuk membeli segala kelengkapan sekolah anak yang berusia enam, sembilan dan 11 tahun.

"Tiap-tiap tahun saya akan habiskan sejumlah RM1,500 hanya untuk kelengkapan sekolah anak bagaimanapun saya akan cuba untuk mengurangkannya pada tahun ini.

Vanitha berkata beliau cuba mengurangkan sebanyak mungkin kos dengan memberi keutamaan kepada kelengkapan utama sekolah sahaja selain terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dalam memilih kelengkapan kedua-dua anaknya yang kini bersekolah rendah.

Mengikut takwim Kementerian Pendidikan Malaysia, Kumpulan A iaitu sekolah di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu akan mula sesi persekolahan pada 1 Jan manakala Kumpulan B, sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, pada 2 Jan.

-- BERNAMA

IlyTrolak: "Foto: Ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk membeli belah barang persekolahan ketika tinjauan persediaan persekolahan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman hari ini. Sesi persekolahan tahun 2020 akan dibuka pada 1 Januari 2020 bagi negeri-negeri kumpulan A yang terdiri daripada Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala bagi negeri-negeri kumpulan B yang terdiri daripada Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan akan memulakan sesi persekolahan pada 2 Januari 2020. --- FotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan