Saya Takkan Tunduk Dengan Tekanan Luar - MB Perak - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Sabtu, 18 Mei 2019

Saya Takkan Tunduk Dengan Tekanan Luar - MB Perak

TAPAH: Kerajaan Perak tidak akan tunduk kepada tekanan pihak luar khususnya badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa kerajaan negeri sedia menimbang desakan untuk meluluskan 12,456 hektar tanah hutan simpan di Hulu Perak hingga ke Kuala Kangsar dan Sungai Siput sebagai kawasan tanah adat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya maklum akan perkara itu dan kajian berkaitan kini sedang dijalankan Pejabat Peguam Negara.

“Selagi (Pejabat Peguam Negara) tidak ada apa-apa (tindakan dibuat), kami tidak akan buat sebarang keputusan.

“Selaku pemimpin (kerajaan negeri), saya tidak tertekan pun dengan desakan mana-mana pihak dan dalam hal ini, saya tak tahu hal itu (dakwaan) datang dari (sumber) mana?” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Wesak Persatuan Penganut Agama Buddha Temoh, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal mengulas laporan sebuah portal berita semalam yang mendakwa kononnya kerajaan negeri sedia menimbang desakan untuk meluluskan 12,456 hektar tanah hutan simpan di Hulu Perak hingga ke Kuala Kangsar dan Sungai Siput berikutan tekanan serta desakan beberapa NGO dari luar Perak berhubung isu membabitkan masyarakat Orang Asli di negeri itu.


Ahmad Faizal (kanan) berucap pada Majlis Sambutan Hari Wesak Persatuan Penganut Agama Buddha Temoh, di Tapah, hari ini. - NSTP/Muhaizan Yahya

Ahmad Faizal berkata, tidak munasabah sama sekali untuk kerajaan negeri melakukan tindakan sedemikian hanya kerana tekanan beberapa NGO.

“Kita ada 256 perkampungan Orang Asli di Perak, jika setiap kampung desak untuk beri hak (tanah adat) sebanyak 12,000 hektar....jumlahnya tak terkira dan kita tak akan mampu lakukan.

“Berhubung isu membabitkan masyarakat Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Hulu Perak, perkara sama juga berlaku di kawasan lain dan kerajaan amat bertimbang rasa dalam mengambil tindakan di kampung Orang Asli.

“Bagaimanapun, kerajaan perlu tegas dalam melaksanakan tindakan, kita bukannya ‘koboi’, kita ada undang-undang dan kalau ada rakyat yang bertindak tanpa mempedulikan undang-undang, kerajaan negeri perlu adil.

“Kita (kerajaan negeri) masih lagi mengamalkan sifat bertimbang rasa dan tidak terus merobohkan (jika menceroboh tanah kerajaan) sebaliknya mengambil jalan penyelesaian dengan bijaksana,” katanya.

Katanya, begitu juga dengan usaha kerajaan memulihkan tanah yang diusahakan dan diteroka secara haram untuk pertanian, kerajaan negeri akan kenal pasti setiap kes, mencari jalan dan penyelesaian yang tidak terlalu menekan rakyat, malah turut mengambil pendekatan mengadakan perbincangan terlebih dulu.

Khamis lalu, Kerajaan Perak merobohkan sekatan jalan menuju Hutan Simpan Air Cepam di Gerik yang dibina secara haram oleh penduduk Kampung Tasik Cunex, kira-kira lima bulan lalu.

Ahmad Faizal dipetik berkata, kerja merobohkan sekatan berkenaan dilakukan tanpa masalah selepas meneliti semua aduan serta sudut perundangan dan kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan pihak penguatkuasa merobohkan sekatan yang dibina tanpa kebenaran atas tanah milik kerajaan negeri. - BERITA HARIAN


IlyTrolak: "Semoga diberi kekuatan untuk melaksanakan segala amanah"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan