Felda Buat Laporan Polis, Najib Sanggah Dakwaan - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Rabu, 10 April 2019

Felda Buat Laporan Polis, Najib Sanggah Dakwaan

KUALA LUMPUR 10 April – Isu berkenaan Felda semakin hangat apabila Pengarah Besarnya, Datuk Othman Omar membuat laporan polis dengan mendakwa ditipu oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembelian 37 peratus kepentingan syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations (EHP) pada harga RM2.3 bilion.

Menurut portal Malaysiakini yang memetik laporan The Edge Markets, Othman dalam laporan polis yang dibuat semalam mendakwa Najib telah mengarahkan Felda melakukan transaksi pada 2015 melalui syarikat tujuan khas (SPV), FIC Properties Sdn. Bhd.

Laporan tersebut turut mendakwa FGV Holdings Bhd., Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) turut diberikan tawaran untuk membeli EHP yang dimiliki Peter Sondakh.

Namun, laporan tersebut mendakwa Felda kemudiannya dipaksa membeli syarikat itu dan Othman menyifatkan pembelian tersebut sebagai berat sebelah kerana hanya memberi manfaat kepada PT Rajawali Group selaku pemilik EHP.

Jelas Othman, hal itu kerana terdapat banyak risiko perlu ditanggung dalam urusan pembelian tersebut kerana EHP tidak memiliki akreditasi Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Malah, Othman mendakwa yang jumlah bayaran untuk memperoleh 37 peratus pegangan dalam EHP adalah 344 peratus lebih tinggi dari nilainya sebenar.

Sementara itu, menjawab dakwaan dan tuduhan dalam isu Felda, Najib menggesa kerajaan untuk mendedahkan perjanjian pembelian saham EHP selepas jawapan bertulis kerajaan PH yang dibentang di Dewan Rakyat semalam membuktikan wujudnya ‘Put Option’.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, turut menimbulkan soalan adalah tuduhan beliau menyebabkan kerugian berbilion ringgit tetapi laporan yang terkandung dalam jawapan bertulis semalam adalah Felda hanya menerima pulangan minimum yang tidak cukup tinggi iaitu enam peratus setiap tahun.

“Antara tuduhan dilakukan adalah untung bersih terjamin pada 1.05 peratus terlalu rendah jika dibandingkan dengan kadar 1.10 peratus yang diperlukan. Namun, jika Felda tidak melaksanakan pembelian ini, untung bersih 1.05 peratus itu tidak akan dapat.

“Pakatan Harapan mahu melakukan propaganda di media tetapi ‘kantoi’ dengan sendirinya dalam jawapan bertulis yang dikeluarkan mereka,” kata beliau dalam kenyataan dalam laman Facebook rasminya semalam. - UTUSAN ONLINE


IlyTrolak: "Text Here"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan