
cnews@nstp.com.my
KANAK-KANAK lelaki lemas ketika mandi bersama rakannya di Sungai Perak di Kampung Pulau Tiga Kiri di Kampung Gajah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa Ahmad Salman Omar, 11, datang ke kawasan sungai berkenaan yang berhampiran dengan rumahnya bersama rakan dan ibunya.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, sejam selepas itu ibu mangsa pulang ke rumah, manakala kanak-kanak lelaki terbabit bersama rakannya mandi di sungai.
Menurutnya, bapa mangsa keluar mencari anaknya di sungai selepas menyedari kanak-kanak itu masih tidak pulang ke rumah pada 7.20 malam.
“Ketika itu kawan mangsa sudah pulang ke rumahnya dan bapa mangsa hanya menjumpai kasut di atas tebing sungai sebelum meminta bantuan orang kampung untuk mencari anaknya itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kanak-kanak lelaki itu ditemui kira-kira 50 meter dari tempat kejadian pada 8 malam dan mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.
“Tiada unsur jenayah dikesan dalam kes ini,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.29 malam.
“Pihak bomba dimaklumkan mangsa sudah ditemui oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Bomba membantu pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.20 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini. - Harian Metro

Tiada ulasan:
Catat Ulasan