137,000 Pesakit Singapura Terjejas Akibat Ubat Tekanan Darah Tinggi Yang Ditarik Balik - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Jumaat, 29 Mac 2019

137,000 Pesakit Singapura Terjejas Akibat Ubat Tekanan Darah Tinggi Yang Ditarik Balik

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menarik balik tiga jenama ubat-ubatan bagi menangani masalah tekanan darah tinggi yang mengandungi bahan losartan.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (28 Mac), sekitar 137,000 pesakit di Singapura kini menggunakan tiga jenama ubat-ubatan tersebut.

Langkah itu diambil kerana ubat-ubatan itu didapati mengandungi jumlah noda nitrosamine, N-nitro-N-metil-4-asid aminobutirik (NMBA), yang lebih tinggi daripada paras yang dibenarkan, menurut HSA hari ini (28 Mac).


Ubat-ubatan itu mengandungi bahan aktif kalium losartan, yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal Hetero Labs yang berpangkalan di India.

Produk-produk terjejas adalah pil 50mg dan 100mg berjenama Losartas, Losagen dan Hyperten yang masing-masing diedarkan oleh pembekal tempatan Apotheca Marketing, Medicell Pharmaceutical dan Goldplus Universal.


Preskripsi ubat Losartas diberikan di institusi-institusi jagaan kesihatan awam manakala Losartas, Losagen dan Hyperten diberikan di institusi jagaan kesihatan privet.

"Sekitar 137,000 pesakit di Singapura kini menggunakan tiga jenama ubat-ubatan losartan yang ditarik balik. Daripada jumlah itu, sekitar 130,000 pesakit diberikan Losartas di institusi jagaan kesihatan awam," menurut MOH.

HSA menasihati para pesakit supaya tidak menghentikan rawatan menggunakan ubat-ubatan itu kerana ia tiada risiko segera terhadap kesihatan mereka. Malah jika mereka berhenti menggunakan ubat-ubatan itu secara serta merta, ia mungkin meningkatkan risiko terhadap kesihatan mereka.


"Para pesakit dinasihati supaya terus mengambil ubat-ubatan itu sehingga para penyedia jagaan kesihatan masing-masing memberi arahan untuk berhenti mengambilnya ataupun memberikan ubat alternatif yang lebih sesuai.

"Para pesakit yang tidak pasti sama ada mereka mengambil produk yang terjejas dinasihati supaya menghubungi para penyedia jagaan kesihatan mereka," menurut MOH.

Pendedahan pada jumlah tinggi nitrosamine yang tinggi selama tempoh jangka panjang boleh meningkatkan risiko penyakit barah.

Menurut HSA, sebahagian ubat-ubatan losartan juga ditarik balik di negara-negara asing sejak hujung Februari disebabkan oleh NMBA.

Lagi tujuh jenama ubat-ubatan losartan yang dipasarkan di Singapura tidak terjejas akibat penarikan balik itu.


Jumpa Doktor Bagi Ubat Alternatif, Menurut MOH

Institusi-institusi jagaan kesihatan awam akan menghubungi para pesakit mereka, menurut MOH.

Para pesakit yang dijadual bertemu para doktor sebelum 1 Julai dinasihati terus menghadiri temu janji itu kerana para doktor akan menasihati mereka tentang ubat-ubatan alternatif yang sesuai.

Mereka yang dijadual bertemu para doktor pada atau selepas 1 Julai pula akan dihubungi bagi berjumpa doktor atau mengadakan semakan perubatan, atau kedua-duanya sekali, dengan lebih awal.

Menurut MOH, sektor jagaan kesihatan awam juga sudah membuat lebih banyak tempahan bagi jenama losartan yang tidak terjejas. Bekalan tambahan itu akan tiba secara bertahap-tahap pada beberapa minggu akan datang.

Para pengimport juga akan memperuntukkan bekalan tambahan bagi para penyedia jagaan kesihatan privet.

"Bagi memastikan agar terdapat ubat-ubatan tekanan darah tinggi bagi para pesakit yang memerlukannya, pakar-pakar perubatan dinasihati supaya memberikan preskripsi selama sebulan.

"Ini memastikan agar para pesakit boleh mendapatkan ubat-ubatan yang diperlukan. Ini mungkin langkah yang akan diambil bagi tempoh enam bulan akan datang," menurut kementerian itu lagi.

Sumber: Berita Mediacorp

IlyTrolak: "Ubat ini pengeluaran pengilang dari mana? 137,000 pesakit terjejas kerana pengambilan ubat tersebut... Berapa peratus penyembuhan dari situasi terjejas tersebut?"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan