
Menteri berkenaan Dr Maszlee Malik berkata mesyuarat Kabinet semalam memutuskan bahawa menteri dan timbalan menteri tidak boleh memberi surat sokongan kepada mana-mana tender dan cadangan, bagi memastikan tadbir urus yang baik bagi kerajaan.
Namun, katanya, penggunaan surat sokongan itu boleh dikaji bagi urusan Kementerian Pendidikan sekiranya ia tidak melibatkan wang selain jika ia isu terdesak seperti kesihatan.
"Sebagai contoh, surat sokongan cuti sebab sakit atau minta dipindahkan atas sebab kesihatan, ia tidak digalakkan tetapi akan dikaji jika kesnya tulen," katanya pada sidang media di kementerian itu di sini, hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan melayani sebarang surat sokongan untuk anak atau anak saudara.
Baru-baru ini, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta penggunaan surat sokongan untuk urusan perniagaan daripada kerajaan diperhalusi dengan teliti.
Beliau berkata, sekiranya boleh, kerajaan perlu menghentikan amalan surat sokongan itu bagi membendung salah guna kuasa dalam parti dan penjawat awam. - Free Malaysia Today (FMT)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan