KPF 2 Untuk Generasi Baru Dapat Dana Awal RM10j - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Sabtu, 31 Julai 2010

KPF 2 Untuk Generasi Baru Dapat Dana Awal RM10j

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Kerajaan setuju menubuhkan Koperasi Permodalan FELDA 2 (KPF 2) dengan dana awal RM10 juta disediakan agensi itu sebagai modal pembangunan ekonomi generasi baru FELDA.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan, di sini semalam, berkata KPF 2 akan memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal di tanah rancangan selain memegang ekuiti tertentu dalam syarikat FELDA.

Selain itu, beliau berkata, KPF 2 juga tidak akan menjadi pesaing kepada Koperasi Pembangunan FELDA (KPF) yang ditubuhkan 30 tahun lalu, sebaliknya ia akan menjadi pelengkap dan menambah rantaian ekonomi sedia ada.

“Kerajaan sedar hasrat dan kehendak generasi baru untuk merebut peluang dalam aktiviti pembangunan dan perniagaan syarikat FELDA. Malah, ramai antara mereka berminat untuk bergiat aktif menerusi koperasi.

“Justeru, bagi mengekalkan semangat keluarga FELDA dan faedah generasi baru, KPF 2 ditubuhkan memandangkan generasi baru FELDA tidak dibenarkan menjadi ahli KPF sedangkan kumpulan ini semakin bertambah bilangannya serta berminat untuk terbabit dalam kegiatan ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, Najib mempelawa semua generasi baru FELDA membabitkan diri dalam KPF 2 kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk turut serta dalam aktiviti pelaburan yang dijalankan anak syarikat FELDA.

Pada masa sama, Perdana Menteri berharap generasi muda FELDA menyambut baik usaha kerajaan menubuhkan KPF 2 demi memastikan nasib keluarga peneroka terus terbela.

“Ketika ini, warga peneroka yang melabur dalam KPF menguasai pegangan sebanyak 51 peratus dalam FELDA Holdings dan setiap tahun ia berjaya memenuhi hasrat semua ahli yang ingin mendapatkan pulangan memuaskan atas pelaburan mereka.

“Ini kerana dividen yang dibayar KPF setiap tahun secara puratanya adalah sebanyak 14 peratus dan ia adalah antara yang tertinggi di negara ini,” katanya.

KPF kini mempunyai seramai 189,415 ahli dengan modal syer sebanyak RM1.2 bilion.

Sumber:Berita Harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan