Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Jumaat, 5 Jun 2020

Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah

Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac 2020. Seterusnya, tempoh PKP telah dilanjutkan kepada beberapa fasa termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 4 Mei 2020. Sepanjang tempoh ini, kerajaan telah menetapkan bahawa semua institusi pendidikan ditutup.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2020: Garis Panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Akibat Penularan Jangkitan COVID-19 bertarikh 27 Mac 2020 bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas.

KPM akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum sekolah dibuka. Ini bertujuan untuk memastikan pengurusan sekolah dapat membuat persediaan dengan memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan murid, guru serta warga sekolah.

Garis panduan ini disediakan sebagai rujukan kepada pegawai bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir serta guru di sekolah tentang pengurusan sekolah dengan mengambil kira langkah-langkah bagi mengawal penularan jangkitan penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19).

Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama dengan surat pekeliling ikhtisas, surat siaran dan arahan serta peraturan berkaitan yang sedang berkuat kuasa dan yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Garis panduan ini terpakai kepada semua sekolah rendah dan sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam di bawah KPM dan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM.

Sekolah yang berdaftar dengan agensi kerajaan yang lain, sekolah persendirian dan institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan merujuk garis panduan ini.

Berikut ialah Surat Siaran dan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang telah dikeluarkan oleh pihak KPM

Klik link di bawah untuk muat-turun:

Surat Siaran Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah
(87 KB)
Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah
(545 KB)


IlyTrolak: "Semoga garis panduan ini memberi panduan agar keselamatan dan kesejahteraan pelajar dapat dipelihara"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan