Pertukaran Di JPN Dan PPD Dibekukan Serta Merta - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Selasa, 12 Jun 2018

Pertukaran Di JPN Dan PPD Dibekukan Serta Merta

PUTRAJAYA 11 Jun- Kementerian Pendidikan membekukan semua pertukaran melibatkan pelbagai jawatan dan pangkat di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara berkuat kuasa serta merta.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, beliau juga telah mengarahkan agar pegawai tertinggi kementerian menyemak semula kenaikan pangkat dan pertukaran peringkat JPN serta PPD yang berlaku dalam jangka masa dua bulan terakhir ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut perlu diambil kerana kementerian telah menerima pelbagai maklumat mengenai percaturan yang mempunyai unsur-unsur politik kepartian di peringkat negeri dan daerah melalui JPN serta PPD.

“Kementerian juga mendapat maklumat ada usaha untuk menempatkan pegawai yang masih setia dengan kerajaan terdahulu di kawasan tertentu, langkah ini dipercayai untuk menyukarkan usaha kementerian membawa pembaharuan dalam sistem pendidikan.

“Ini adalah perkara yang mengecewakan kerana saya tidak mahu politik kepartian sempit mempengaruhi institusi-institusi pendidikan yang bakal membentuk masa depan anak-anak kita,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai isu penyelewengan pemberian kontrak pembekalan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak, Maszlee berkata, pihaknya telah memulakan proses siasatan dalaman untuk mengenal pasti mereka yang bersalah dalam isu penyelewengan itu. - UTUSAN ONLINE


Sumber: Portal Rasmi KPM

IlyTrolak: "Menyelesaikan percaturan berunsurkan politik sebelum ini"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan