Ayahanda Tercinta Kemalangan - ::::: Aku Budak Trolak :::::

Blog generasi peneroka FELDA

Jumaat, 7 Mei 2010

Ayahanda Tercinta Kemalangan

Seperti kebiasaanya, perjalanan pulang agak perlahan setelah menyiapkan beberapa tugasan yang perlu diselesaikan seberapa segera. Mungkin melayan lelah yang masih terasa. Kereta Kancil menerjah lembut melalui ruang laluan ke rumah.

Memang semula jadi sifat diri, suka melakukan sesuatu bersendirian. Dalam bersendirian itu pula tersimpan segala rahsia agar ianya dirasai dalam diri sendiri sahaja.

Tiba-tiba deringan telefon memecah segala ketenangan fikiran. Bergegas dicapai telefon bimbit yang berada dalam saku.

Tertera nama "Abah" di paparan LCD telefon.

"Ily, abah eksiden...!" kenal sungguh dengan suara yang kedengaran dicorong telefon.

"Kat mana?"

"Dekat simpang kilang!"

Segera stering kereta Kancil mengubah haluannya ke FELDA Trolak Utara, menuju destina yang dinyatakan.

Tiada banyak soal lagi...

Dalam perjalanan fikiran memikirkan pelbagai persoalan. Teringat seseorang yang boleh dihubungi bagi menangani kes ini sehingga aku sampai di tempat kejadian.

Dalam pemanduan, berlaku pelanggaran peraturan jalan raya. Menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Tetapi pedulikan...

"Kesalahan lalu lintas ini didapati bersalah sekiranya ada anggota polis atau pegawai JPJ yang nampak dan memberi saman" teringat lagi kata-kata aku pada seorang teman yang takut untuk melanggar peraturan tersebut.

Beberapa tanggapan mula menguasai fikiran. Kawasan tersebut memang popular dengan kemalangan. Telah beberapa kejadian kemalangan berlaku di tempat yang sama.

Alasannya mudah, keadaan persimpangan yang berselekoh dan terhalang oleh bukit. Namun begitu usaha pihak berwajib telah dibuat untuk memudahkan pemandangan pemandu. Bukit dicantas sedikit untuk memudah pemandangan. Tetapi masih tidak memadai, halangan masih berada di situ.

Kereta kancil mencecah kelajuan maksima. Setelah 20 minit perjalanan dan lebih kurang 5 kilometer menghampiri destinasi, kilauan nyalaan biru menyilau-nyilau dari kereta peronda polis betul meragukan diri. Nampaknya seperti sedang mengejar.

"Habis, naya... mesti kena ni..." bisik hati menduga situasi.

Namun sangkaan tersasar, kereta Waja polis tersebut terus memecut laju, meninggalkan Perodua Kancil.

"Fuh..., nasib baik... " peluang untuk mengekori laju diambil. Namun tak terkejar Perodua Kancil ini untuk bersaing dengan Proton Waja.

Setiba di kawasan kemalangan kelihatan van ayahanda terletak di tengah-tengah jalan. Perasaan ini telah mengagak situasi kemalangan tersebut berlaku. Sememangnya kawasan ini agak berbahaya.

Dapat sahaja kereta dipakir yang selamat, terus langkah menuju ke arah ayahanda. Kerisauan mula berkurangan apabila kelihatan ayahanda masih berdiri dengan tenang.

"Ada rasa nak muntah tak atau rasa pening" antara soalan yang keluar dari mulut ini.

Belumpun van ayahanda diteliti, kerisauan hanya kepada ayahanda yang tercinta.

Seketika kemudian kereta peronda yang memecut tadi pula tiba di tempat kejadian. Kemanakah haluannya sebentar tadi tidak dipastikan. Tersasar agaknya. Anggota polis mendekati kenderaan yang terlibat kemalangan. Kelibat dua orang anggota polis sangat sangat dikenali.

Pertanyaan terus kepada situasi ketika kejadian. Ayahanda menerangkan ringkas. Tanggapan diri membenarkan jangkaan sebelumnya.

Pemandu kereta seorang wanita kelihatan berada tidak jauh dari tempat kejadian. Pucat wajah, mungkin akibat terkejut dengan kejadian. Saudara maranya juga turut bersama.

Melihatkan keadaan ayahanda yang tenang, tiada lagi kerisauan yang membenak. Terus dicapai kamera yang tersimpan dipoket dan diambil beberapa gambar untuk simpanan.

Antara gambar yang sempat dirakamkan.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan