::::: Aku Budak Trolak :::::: Pendidikan

Blog generasi peneroka FELDA

Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan

Selasa, 29 September 2020

Di Mana Guru Selepas Waktu Sekolah?

2:50 PTG 0
Di Mana Guru Selepas Waktu Sekolah?
Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
28 September 2020,
9:00 am

SAUDARA PENGARANG,

Penularan pandemik Covid-19 masih belum berakhir, malah angka jangkitan semakin meningkat sejak kebelakangan ini sekali gus amat merisaukan.

Walaupun tiada tanda untuk pulih, orang ramai tetap mengambil kesempatan untuk bercuti di dalam negara.

Ya, ia amat bagus dalam membantu ekonomi untuk pulih, namun apa yang dirisaukan adalah kemungkinan virus itu berjangkit amat tinggi terutama melibatkan kanak-kanak.

Apabila di sekolah, kanak-kanak ini bergaul sehingga lupa pesanan untuk menjaga penjarakan sosial dan tidak menyentuh sesama mereka.

Lihat sahaja cara mereka bermain dan berbual selepas tamat sesi persekolahan, langsung tidak akur kepada arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Tiada pula kelihatan guru mengawal atau memantau pelajar di luar sekolah yang agak bebas bergaul dan bermain.

Bukan hendak menyalahkan guru yang terbeban dengan tanggungjawab mengajar, namun sekiranya ada pemantauan daripada pihak sekolah, kemungkinan pelajar akan lebih patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ini kerana kita tidak pasti pergaulan pelajar di luar sekolah, ke mana mereka pergi dan berjumpa dengan siapa sekali gus kebolehjangkitan itu amat tinggi.

Justeru, amat penting untuk pihak sekolah sentiasa berwaspada dan meningkatkan peraturan terutama ketika wabak ini masih berada pada tahap merisaukan.

IZYAN QISTINA QUSAIRI
Ampang, Selangor

Sumber: Utusan Digital

IlyTrolak: "Tohmahan yang dilemparkan terus kepada golongan guru. Mengapa semua perkara perlu diletakkan di atas bahu guru? Walaupun pada ketika itu, pelajar-pelajar telah berada di luar kawasan sekolah. Adakah benar ia masih tanggungjawab pihak sekolah?

Paling hebat, pihak akhbar juga bertindak menyiarkan. Tujuan menyiarkan perkara ini adalah tidak dapat dipastikan.

Adakah pihak akhbar bersetuju dengan apa yang ditohmahkan atau pihak akhbar ada tujuan lain?

Di manakah sebenarnya bidang kuasa pihak sekolah? Adakah benar sehingga pelajar telah selesai sesi persekolahan dan berada di luar kawasan sekolah, pihak sekolah perlu mengawasi para pelajar ini?

Persoalan lain pula, DI MANA PULA EMAK DAN BAPA ATAU PENJAGA PELAJAR? Adakah mereka hanya sibuk dengan tugas dan tanggungjawab dalam pekerjaan mereka?

Adakah tanggungjawab dalam pekerjaan tersebut boleh menafikan amanah dari Allah? Bukankah anak itu amanah daripada Allah?

Apakah ibu bapa atau penjaga tidak mengetahui waktu pulang anak masing-masing?

Tidakkah ibu bapa dan penjaga menasihatkan anak-anak masing-masing agar mematuhi SOP ketika di luar rumah atau di tempat awam?

Jika ibu bapa dan penjaga telah menasihati anak-anak masing-masing, mengapa anak masih berkeliaran???

Nampak gayanya cakap ibu bapa pun anak-anak tak nak dengar...

Banyak persoalan yang akan dihujahkan sekiranya masing-masing ingin mencari kesalahan...

Sepatutnya antara ibu bapa dan pihak sekolah perlu saling memahami dan tidak meletakkan sepenuh tanggungjawab terhadap satu pihak sahaja.

Yang pastinya IZYAN QISTINA QUSAIRI dari Ampang, Selangor harus sedar peranan sendiri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan."
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Jumaat, 21 Ogos 2020

Pentaksiran Baharu Ke SBP Diumum Dalam Masa Terdekat

12:00 PG 0
Pentaksiran Baharu Ke SBP Diumum Dalam Masa Terdekat
KUALA LUMPUR: Pentaksiran baharu bagi kemasukan murid tahun enam dan pelajar tingkatan tiga ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan diumum dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata pentaksiran baharu itu diperkenal susulan keputusan Kementerian Pendidikan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.

Katanya, bagi murid dan pelajar lain, kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) akan terus digunakan dan sehingga kini, sekolah tidak berdepan masalah untuk menilai prestasi mereka.

"Pentaksiran ke asrama penuh bagi murid tahun enam dan tingkatan tiga, kita akan maklum dalam masa terdekat. Ketika saya umumkan batalkan UPSR dan PT3 tahun ini, memang kita ada kaedah yang sudah dilaksanakan. Ia dapat dilaksana dengan baik sepanjang tempoh ini.

"Sejak dia masuk darjah satu pun sudah dinilai. Perkembangannya pun kita sudah ikut. Kita sudah lihat rekodnya pun. Sudah ada banyak maklumat yang kita boleh rujuk. Selepas sekolah dibuka dan ada proses penilaian, itu boleh diadakan dalam bilik darjah," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Putrajaya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, kementerian juga sedang menilai keberkesanan pemansuhan sistem peperiksaan pada murid tahap satu.

"Ini perkara yang sedang diteliti secara menyeluruh. Secara prinsipnya, apabila saya lihat sistem pendidikan di Australia dan kembali ke tanah air, (murid) darjah satu dua sudah pergi tuisyen, ambil peperiksaan dan sebagainya. Ini satu keadaan yang tidak kondusif untuk perkembangan anak-anak.

"Sebab pada umur terlalu muda ini, adalah ruang untuk anak-anak bina karakter. Kita tak boleh terus menekan mereka dengan peperiksaan. Sebab itu perkara ini saya sedang lihat secara menyeluruh. Dalam usia sebegini kita melihat minat mereka dalam konteks enrolmen dalam sains dan teknologi semakin tahun semakin kurang," katanya.

Beliau berkata, keadaan ini berbeza dengan sistem pendidikan di negara maju lain yang mana sains dan teknologi dilihat sebagai subjek yang diberi penekanan memandangkan ia berupaya memacu ekonomi masa depan.

"Dunia sedang melihat kepakaran dalam sains dan teknologi untuk memacu ekonomi pada masa depan tetapi enrolmen (murid) kita mengurang. Untuk membentuk generasi ke arah itu, ia mesti bermula dari awal.

"Kita lihat semua sistem untuk melihat kaedah yang terbaik namun apa-apa yang sedang dilaksanakan, bawa kebaikan kita akan teruskan," katanya.



Sumber: Berita Harian


IlyTrolak: "Kajian yang berkesan dapat menempatkan sistem pendidikan yang bersesuaian kepada seluruh pelajar"

Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Isnin, 17 Ogos 2020

Perancangan Strategik JPN Perak 2020 - 2024

8:19 PTG 0
Perancangan Strategik JPN Perak 2020 - 2024
Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah melancarkan Perancangan Strategik (PS) Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPNPk) bagi Tahun 2020 hingga 2024. PS kali ini telah memaparkan visi baharu JPNPk iaitu Pendidikan Berkualiti, Sekolah Unggul, Murid Holistik.

Selain itu juga JPNPk telah memilih "Penyampaian Pendidikan Berkualiti Untuk Membangun Sekolah Unggul Bagi Menyediakan Murid Kalis Masa Hadapan" sebagai misi dalam menyampai hasrat visi.

Motto "We Deliver" Melambangkan warga JPN Perak, PPD dan sekolah sebagai satu organisasi kebersamaan yang kukuh, mantap dan sentiasa bersedia dalam menyampaikan ilmu, maklumat, pengetahuan dan nilai murni. JPN Perak komited dalam melahirkan modal insan, mewujudkan pendidikan berkualiti, sekolah unggul, murid holistik.

Di sini dilampirkan Dokumen Perancangan Strategik Jabatan Pendidikan Negeri Perak dalam format Microsoft Powerpoint (.pptx) yang boleh dibuat pindaan untuk kegunaan mengikut kesesuaian pihak sekolah.
Klik Sini Untuk Muat Turun
IlyTrolak: "Satu persediaan dalam menghadapi Gelombang Ke-3 PPPM"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Selasa, 16 Jun 2020

Pembukaan Semula Prasekolah, TADIKA Penting Untuk Kesejahteraan Kanak-kanak - Majlis ECCE

12:46 PG 0
Pembukaan Semula Prasekolah, TADIKA Penting Untuk Kesejahteraan Kanak-kanak - Majlis ECCE
KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sepenuhnya prasekolah dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) mulai 1 Julai depan, disifatkan penting bagi kesejahteraan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang memerlukan interaksi sosial untuk perkembangan psikologi mereka.

Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (Majlis ECCE), Datuk Dr Chiam Heng Keng, berkata ini kerana interaksi secara bersemuka adalah jauh lebih berkesan berbanding dalam talian, lebih-lebih lagi pendedahan golongan itu kepada skrin harus ada batas.

"Justeru, Majlis ECCE mengalu-alukan pembukaan semula operasi ini. Ia sangat dinantikan oleh industri ECCE yang menghadapi masalah kewangan berikutan kehilangan pendapatan sepanjang penutupan operasi dan pada masa sama tetap perlu membayar gaji kakitangan.

"Yang paling penting ialah kesejahteraan anak kerana walaupun mereka mempunyai aktiviti dan kelas dalam talian yang disediakan TADIKA masing-masing, mereka merindui rakan di TADIKA.

"Lebih-lebih lagi, kanak-kanak pada usia ini memerlukan interaksi sosial untuk kesejahteraan psikologi, selain persekitaran berbeza untuk rangsangan dan pengalaman pada sel neuron atau otak bagi membentuk serta menguatkan salur saraf, " katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan prasekolah dan TADIKA dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai depan, namun operasi mereka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Mengulas lanjut, Heng Keng berkata, pengumuman itu juga pasti adalah khabar gembira buat ibu bapa kerana dapat menghantar semula anak ke TADIKA, sekali gus membolehkan mereka kembali bekerja.

Pada masa sama, beliau berkata, pengusaha prasekolah dan TADIKA diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan berlaku jangkitan baharu COVID-19 dalam kalangan warga mereka.


Sumber: https://www.bharian.com.my/


IlyTrolak: "Pembukaan semula Prasekolah dan TADIKA dilihat satu langkah bagi menangani isu kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak yang bekerja.

Ibu bapa dan penjaga yang merasa terkekang apabila keperluan untuk bekerja terbatas kerana tiada tempat untuk menempatkan anak-anak ketika mereka dikehendaki untuk hadir bekerja."
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Isnin, 15 Jun 2020

Panjat Pokok Sebab Nak Jawab Peperiksaan Online

2:03 PTG 0
Panjat Pokok Sebab Nak Jawab Peperiksaan Online
SHAH ALAM - Masalah liputan jalur lebar yang terhad tidak mematahkan semangat seorang pelajar Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah yang sanggup tidur di atas pokok semata-mata untuk menjalani peperiksaan secara dalam talian.

Veveonah Mosibin, 18, pelajar jurusan Asasi Sains memuat naik video pengalaman dilaluinya menerusi saluran YouTube miliknya dengan tajuk 24 Hours On Tree | Challenge (Cabaran 24 jam atas pokok).

Video berdurasi 11 minit 21 saat itu memaparkan Veveonah terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang 'kuat' sepanjang peperiksaan (dalam talian) berlangsung pada 9 Jun lalu.

Dalam video tersebut, pelajar itu mendedahkan, dia terfikir untuk melakukan cabaran itu setelah sebuah pondok yang dibina di atas bukit bagi tujuan persediaan menghadapi peperiksaan rosak dipercayai akibat cuaca buruk.

"Sebelum ini saya telah bina pondok sebagai seperti video yang saya muat naik sebelum ini namun pagi ini (9 Jun), saya lihat ia telah rosak kerana saya sudah lama tidak datang, sudah berminggu-minggu kerana banyak kerja. Kerja di ladang, menoreh getah dan tolong ibu bapa.

"Jadi saya tidak tahu keadaan pondok itu. Bila saya datang rupanya sudah rosak," katanya dalam video tersebut.

Berbekalkan kelambu, telefon bimbit, pengecas mudah alih (power bank), sebotol air dan beberapa bungkus nasi serta peralatan untuk menjawab peperiksaan, Veveonah berada di atas pokok tersebut dalam tempoh 24 jam dari jam 7.30 pagi.

Pelajar itu mengambil peperiksaan bagi subjek Kimia sebelah pagi dan subjek Pengajian Malaysia pada sebelah petang.


Pondok yang dibina atas bukit oleh Veveonah sebagai persediaan menjawab peperiksaan rosak akibat ribut menyebabkan pelajar itu terpaksa memanjat pokok.

Ketika berada di atas pokok itu, Veveonah juga terpaksa berdepan detik cemas apabila seekor tebuan tanah bersaiz besar tersesat masuk ke dalam kelambunya.

"Agaknya tebuan ini tersesat. Ni kalau menggigit ni, memang sakit," kata Veveonah yang membuka kelambu bagi menghalau serangga itu keluar.

Selesai menduduki peperiksaan pada sebelah petang, Veveonah tidak pulang sebaliknya kekal berada di atas pokok untuk tidur dan pulang keesokan paginya.


Veveonah berada dalam kelambu atas pokok pada waktu malam dengan berbekalkan lampu telefon bimbit.

Pelajar ini mula aktif sebagai 'YouTuber' sejak April lalu dan terdapat empat lagi video lain yang dimuat naik sejak sebulan lalu yang memaparkan perkongsian teknik cara hidup tradisional.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/

Tontoni video rakamannya:



IlyTrolak: "Hebat usaha yang dilakukan oleh pelajar ini... pelbagai cabaran yang dihadapi..."
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Jumaat, 5 Jun 2020

Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah

12:23 PG 0
Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah
Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac 2020. Seterusnya, tempoh PKP telah dilanjutkan kepada beberapa fasa termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 4 Mei 2020. Sepanjang tempoh ini, kerajaan telah menetapkan bahawa semua institusi pendidikan ditutup.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2020: Garis Panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Akibat Penularan Jangkitan COVID-19 bertarikh 27 Mac 2020 bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas.

KPM akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum sekolah dibuka. Ini bertujuan untuk memastikan pengurusan sekolah dapat membuat persediaan dengan memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan murid, guru serta warga sekolah.

Garis panduan ini disediakan sebagai rujukan kepada pegawai bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir serta guru di sekolah tentang pengurusan sekolah dengan mengambil kira langkah-langkah bagi mengawal penularan jangkitan penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19).

Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama dengan surat pekeliling ikhtisas, surat siaran dan arahan serta peraturan berkaitan yang sedang berkuat kuasa dan yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Garis panduan ini terpakai kepada semua sekolah rendah dan sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam di bawah KPM dan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM.

Sekolah yang berdaftar dengan agensi kerajaan yang lain, sekolah persendirian dan institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan merujuk garis panduan ini.

Berikut ialah Surat Siaran dan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang telah dikeluarkan oleh pihak KPM

Klik link di bawah untuk muat-turun:

Surat Siaran Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah
(87 KB)
Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah
(545 KB)


IlyTrolak: "Semoga garis panduan ini memberi panduan agar keselamatan dan kesejahteraan pelajar dapat dipelihara"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.

Khamis, 4 Jun 2020

Pemeriksaan Suhu Badan, Makan Dalam Kelas Antara Garis Panduan KPM

11:20 PG 0
Pemeriksaan Suhu Badan, Makan Dalam Kelas Antara Garis Panduan KPM
KAJANG, 4 Jun -- Pemeriksaan suhu badan di sekolah dan makan di dalam kelas pada waktu rehat antara kebiasaan baharu bakal diamalkan oleh pelajar apabila sekolah dibuka kelak.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata garis panduan itu menetapkan pemeriksaan suhu badan dilakukan oleh guru setibanya pelajar di pintu pagar sekolah dan sekiranya mereka bergejala tindakan selanjutnya akan diambil.

"Kita juga sedar pelajar ini kadang-kadang ke sekolah berjalan kaki, ada yang naik basikal dan suhunya tinggi sedikit daripada 37.5 darjah celsius...pelajar ini akan diminta berehat dahulu bagi memastikan suhu badan mereka kembali normal dan suhu diperiksa sekali lagi.

"Setiap sekolah juga memang kena ada bilik isolasi iaitu jika pelajar menunjukkan sebarang gejala maka mereka akan dibawa ke sini dan pihak sekolah selain menghubungi ibu bapa, juga akan berhubung dengan Pusat Kesihatan berdekatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Mohd Rabin Basir dan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim.

Kebiasaan baharu itu antara kandungan dalam Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mula diedarkan kepada sekolah dan dimuat naik di laman sesawang kementerian itu hari ini.

Garis panduan setebal 34 muka surat itu dihasilkan secara terperinci dan menyeluruh bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Mohd Radzi berkata ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai aspek penjarakan sosial ketika anak mereka di kantin memandangkan waktu rehat dijalankan secara berperingkat dan semua pelajar perlu makan di dalam kelas masing-masing.

"Pelajar perlu membeli makanan berbungkus dan mereka akan beratur mengikut garisan yang ditetapkan dengan jarak satu meter antara satu sama lain sebelum pulang ke kelas masing-masing untuk makan.

"Jadi, keadaan di kantin lebih tersusun dan ibu bapa tidak perlu risau anak-anak berebut ke kantin kerana masa rehat akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan tidak semua pelajar berkerumun di kantin dalam satu-satu masa tertentu...kita akan menjarakkan waktu rehat," katanya.

Bagi memastikan penjarakan sosial antara pelajar terjaga, Mohd Radzi menjelaskan susunan meja bagi setiap kelas mesti dalam jarak satu meter dan sekiranya bilangan pelajar melebihi kapasiti meja disediakan, lebihan pelajar mesti ditempatkan di kelas lain.

Katanya, kedudukan pelajar di dalam makmal juga dijarakkan antara satu sama lain bagi membolehkan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik dan selamat.

Mengulas mengenai pergerakan pelajar dalam kawasan sekolah pula, beliau berkata arah laluan pelajar akan ditanda dengan anak panah bagi mengelakkan pertembungan berlaku.

Selain itu, katanya, guru-guru juga tidak perlu khuatir kerana mengikut garis panduan yang dikeluarkan, keselamatan dan kesihatan mereka turut dititikberatkan oleh kementerian.

"Guru-guru tidak perlu risau mereka akan bersesak-sesak dalam bilik guru, kerana pihak sekolah perlu memastikan terdapat penjarakan sosial walaupun dalam bilik guru. Guru-guru yang dipindahkan dari bilik guru asal akan ditempatkan di bilik bersesuaian termasuklah pusat sumber dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata kementerian turut mengeluarkan garis panduan sama bagi pelajar tinggal di asrama iaitu katil mereka dijarakkan satu meter malah dewan makan yang disediakan turut menitikberatkan penjarakan sosial antara pelajar.

Menurut beliau, apabila sekolah dibuka pihaknya melihat pelaksanaan garis panduan itu dan sekiranya terdapat ruang untuk penambahbaikan, ia akan dilakukan bagi memastikan pelajar hadir ke sekolah mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam keadaan selamat.

"Kita amat berharap anak-anak nanti apabila datang pastikan penjarakan sosial itu sentiasa diamalkan di sekolah dan sepanjang perjalanan mereka datang dan balik dari sekolah," kata Mohd Radzi.


Sumber: BERNAMA @ https://www.bernama.com/bm/am/news_covid-19.php?id=1847766


IlyTrolak: "Semoga dipermudahkan dan berjalan dengan lancar"
Komen, pendapat dan cadangan dari pihak pembaca yang budiman, amat kami hargai dan didahului ucapan terima kasih PERINGATAN: Aku Budak Trolak tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pelawat laman ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik laman. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pelawat laman itu sendiri.